Masyarakat Dayak di Sarawak diminta menjadikan perayaan Hari Gawai sebagai landasan untuk saling mengenali budaya dan adat resam sesama sendiri dan saudara mereka yang lain, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

"Negeri Sarawak merupakan sebuah negeri yang luas dan didiami pelbagai etnik dan kaum. Lebih daripada 60 peratus penduduk di Sarawak adalah terdiri daripada kaum Dayak atau kaum asal.

"Variasi menarik dan kepelbagaian warna dalam kebudayaan masyarakat Dayak, menjadikan Sarawak sebuah negeri yang unik dan terkenal dengan unsur perpaduan di antara kaumnya," katanya berucap merasmikan Majlis Mantar Gawai (Malam Pra Gawai) 2019 yang dianjurkan Masyarakat Sivil Bintulu (Bintulu Civil Societies) di sini malam tadi.

Baru Bian yang juga Ahli Parlimen Selangau berkata, ikatan dan rasa persaudaraan yang tertanam dalam diri anak Sarawak secara tidak langsung, telah mencipta sebuah imej yang indah buat negeri itu.

Beliau berharap, perkara itu dapat dilaporkan, diceritakan atau diterbitkan program-program secara aktif, kreatif dan inovatif oleh media massa.

"Dengan adanya rancangan yang inklusif sedemikian, warga Malaysia yang bukan Dayak akan lebih mengenali budaya dan kesenian kita orang Dayak. Perkara ini sangat penting untuk menanam semangat patriotisme dan memupuk perpaduan sesama kaum di negara ini yang kian terhakis," katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen. -- Bernama