Warisan budaya Melayu Islam perlu dikekalkan dalam pembangunan Kampung Baru bagi mewujudkan 'Bandar Melayu' di ibu kota.

Presiden Pertubuhan Pemilik dan Waris Tanah Kampong Bharu (PPWT) Mashuti Mat Soom berkata 'Bandar Melayu' itu boleh menjadi hab budaya Melayu bertaraf antarabangsa dan berupaya menarik kedatangan pelancong asing.

"Kampung Baru merupakan satu-satunya kawasan perkampungan Melayu yang berusia lebih 100 tahun dan masih mengekalkan identiti budaya Melayu.

"Seperti mana yang ada sekarang di Jalan Petaling yang melambangkan budaya Cina dan 'Little India' untuk budaya India, kami juga mahu satu 'Bandar Melayu' diwujudkan bagi melambangkan identiti Melayu Islam di tengah-tengah pembangunan pesat ibu kota," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

PPWT turut mencadangkan Garis Panduan Seni Bina Melayu Islam dalam Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Bharu (PITPKB) dirujuk oleh mana-mana pemaju Bumiputera Melayu yang terlibat dalam membangunkan Kampung Bharu.

"Mereka disaran menjadikan 67 kriteria dalam garis panduan itu sebagai rujukan kepada pembangunan Kampung Baru yang bermula daripada jajaran Jalan Raja Abdullah, Jalan Raja Muda Abdul Aziz sehingga ke Jalan Tun Razak," katanya.

Mashuti berkata pertubuhan itu mendapati ada beberapa pelan pembangunan Kampung Baru yang dibentangkan oleh syarikat pemaju baru-baru ini, tidak mengikut garis panduan yang ditetapkan.

"Penduduk-penduduk di Kampung Baru tidak membantah pembangunan, cuma pada masa yang sama mahu identiti budaya Melayu sama ada dari segi reka bentuk bangunan, kemudahan dan program rukun tetangga seperti gotong-royong dan kenduri-kendara dikekalkan," katanya.

-- BERNAMA