Tutup

Jadikan Malaysia hab aeroangkasa - Tun Mahathir

Jadikan Malaysia hab aeroangkasa - Tun Mahathir
Tun Dr Mahathir Mohamad bergambar bersama kakitangan AirAsia ketika menghadiri pameran perjalanan udara masa depan di AirAsia RedQ, Sepang. - Foto ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
SEPANG: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad merancang untuk menjadikan Malaysia sebagai antara negara hab aeroangkasa seiring kemajuan teknologi Revolusi Industri Keempat (IR4.0).

Ujarnya, Kerajaan berpandangan Malaysia berkemampuan selain mempunyai keyakinan daripada pelabur terhadap ekosistem aeroangkasa termasuk lokasi yang strategik.

"Aeroangkasa bukan perniagaan baharu buat Malaysia. Kita telah lama mengeluarkan komponen pesawat kepada Boeing dan Airbus kerana mereka mempercayai kualiti kita.

“Peluang begitu besar dan kita kena pastikan ia dapat dilaksanakan di negara ini. Tiada tempoh ditetapkan, tapi kita akan laksanakannya secepat mungkin,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan rasmi ke ibu pejabat AirAsia RedQ di sini, pada Jumaat.
Beliau sebelum itu dibawa melawat pameran AirAsia yang memperkenalkan makmal inovasi, pengalaman lapangan terbang digital seperti teknologi pengecaman wajah termasuk teknologi kejuruteraan digital.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir turut berharap supaya semua lapangan terbang di negara ini mengaplikasi inovasi teknologi kreatif sejajar IR4.0 bagi meningkatkan pengalaman pengguna.
Malah, beliau gembira melihat AirAsia sentiasa menguasai teknologi baharu dalam usaha penambahbaikan dan inovasi yang berterusan.

“AirAsia menyaksikan kisah kejayaan Malaysia yang luar biasa berasaskan inovasi. Ia adalah syarikat penerbangan pertama di Asia untuk menawarkan perkhidmatan penerbangan dalam talian apabila seluruh industri masih menggunakan ejen pelancongan,” katanya.

Beliau menambah AirAsia juga adalah syarikat penerbangan pertama di Asia untuk memiliki aplikasi mudah alih dan menggunakan media sosial secara menyeluruh.


Tag: Mahathir Mohamad, AirAsia, Boeing, Airbus, Perdana Menteri, media sosial, pesawat, pelancongan, penerbangan, teknologi, Revolusi Industri



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.