HARI Ahad ini, bermulalah kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berkait Gender yang bakal diraikan di seluruh dunia. Namun, sedang kita berjuang menamatkan keganasan berkait gender, masih ada satu bentuk keganasan yang ramai pihak masih terlepas pandang, yakni perbuatan intip dan hendap (stalking).

Intip dan hendap ketika ini bukan ditakrif sebagai jenayah di Malaysia. Ini bererti, jika seseorang berulang-kali menghubungi anda, mengekori anda, muncul di tempat-tempat yang sering anda kunjungi – bentuk intip dan hendap yang paling lazim – pihak berkuasa tidak dapat berbuat apa-apa untuk melindungi anda.

Inilah yang berlaku pada Devi Sudarsani, mangsa intip dan hendap yang berjaya melepaskan dirinya. Kes beliau telah dilaporkan di media.

Sewaktu membeli minuman di KK Mart, Devi menyedari bahawa dirinya sedang diperhatikan oleh dua orang yang tidak beliau kenali. Mereka mengekori Devi sampailah ke lokasi seterusnya, malah terus memerhatikannya sehingga hampir tiga jam. Dalam keadaan penuh takut dan gementar, Devi segera membuat laporan polis, akan tetapi, polis memberitahu Devi bahawa selagi tiada “sentuhan” yang berlaku, polis tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap pihak yang menghendap Devi. Kes beliau selesai hanya sesudah rakan sepejabat Devi masuk campur.

Intip dan hendap berbahaya

Yang pasti, masih ada jurang yang luas dalam undang-undang kita melibatkan kes intip dan hendap kerana perbuatan ini amat berbahaya. Penyelidik di Universiti Toronto mendapati bahawa intip dan hendap boleh mengakibatkan pelbagai masalah kesihatan mental, termasuk kerisauan, kemurungan dan simptom kecelaruan stres postraumatik.

Yang lebih membimbangkan, intip dan hendap seringkali melarat kepada bentuk keganasan yang lebih dahsyat. Di Kanada dan Amerika Syarikat, 90 peratus wanita yang dibunuh oleh pasangan mereka pernah menjadi mangsa intip dan hendap sebelum mereka dibunuh.

Intip dan hendap ialah taktik yang digunakan oleh pasangan yang ganas untuk mengawal gerak-geri pasangan wanita mereka, sekali gus mencetuskan rasa takut. Menurut Institut Kebangsaan Keadilan Amerika Syarikat, pasangan yang mengintip dan menghendap lebih cenderung mengawal pergerakan dan bersikap ganas terhadap pasangan mereka berbanding pasangan yang tidak berbuat demikian.

Sebagai contoh, kes pembunuhan seorang wanita oleh bekas suaminya pada tahun lepas yang telah menggegarkan negara. Bekas suami mangsa telah berulang-kali mengekorinya dan mengganggunya di pejabat, bahkan mangsa terpaksa berpindah pejabat kerana risaukan keselamatan dirinya. Pada hari pembunuhan, bekas suami tersebut muncul di pejabat mangsa di Kuala Lumpur, mengeluarkan pistol dan melepaskan empat hingga lima das tembakan terhadap mangsa. Mangsa mati di tempat kejadian.

Kes-kes seumpama ini membuktikan betapa pentingnya intip dan hendap ini dicantas pada akar umbi sebelum ia meruncing kepada bentuk keganasan yang lebih dahsyat – termasuk bunuh.

Intip dan hendap kerap berlaku di Malaysia

Menurut sebuah kajian Universiti Sains Malaysia pada 2014, sembilan peratus wanita di Semenanjung Malaysia yang pernah berpasangan pernah juga mengalami keganasan daripada pasangan mereka. Ini bersamaan lebih 900,000 wanita.

Dalam laporan Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) pada 2013 yang mendokumenkan 34 kes keganasan rumah tangga, 26 peratus daripadanya melibatkan intip dan hendap. Angka ini konsisten dengan statistik di negara-negara lain: di Amerika Syarikat, sepertiga wanita yang mengalami keganasan turut mengalami intip dan hendap.

Berdasarkan angka tersebut, besar kemungkinan bahawa kira-kira 250,000 mangsa keganasan rumah tangga di Malaysia juga pernah diintip dan dihendap oleh pasangan yang bertindak ganas terhadap mereka (26-33 peratus daripada 900,000 wanita).

Jadikan intip dan hendap suatu jenayah

Berlatarkan betapa berbahaya dan kerapnya intip dan hendap di Malaysia, kita perlu mentakrifkan intip dan hendap sebagai suatu kesalahan dalam Kanun Keseksaan. Serentak dengan itu, perintah sekatan (restraining order) juga perlu diperkenalkan dalam Kod Prosedur Jenayah terhadap pihak yang mengintip dan menghendap.

Penguatkuasa dan penggubal undang-undang daripada kedua-dua pihak sepakat bersetuju akan peri pentingnya undang-undang membanteras intip dan hendap, namun, perlu didesak agar segera meluluskan undang-undang berkenaan.

Sudah tiba masanya kita berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain dunia yang telah memperluas takrifan intip dan hendap sebagai suatu jenayah. Negara-negara ini termasuklah Singapura, Filipina, Jepun, Afrika Selatan, Republik Czech, Australia, New Zealand, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Banyak negara menggubal undang-undang membabitkan intip dan hendap ini hanya setelah berlakunya kes pembunuhan berprofail tinggi yang menggegarkan seluruh negara. Rakyat Malaysia pernah diintip, dihendap, malah akan ada antara mereka yang mungkin menerima nasib yang sama, dibunuh atau dicacatkan. Perlukah kita tunggu sehingga tercetus kes berprofail tinggi yang mengejutkan Malaysia untuk kita bertindak?

- Women's Aid Organisation



* Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI