Tidak meninggalkan solat, menghormati ibu bapa serta guru merupakan antara resepi dua pelajar yang meraih keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada Khamis.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Paroi Jaya, Syahmi Yusuf Safuan, 12, dan Aisyah Sofea Ahmad Faedzal, 12, memperoleh keputusan 6A dalam semua mata pelajaran.

Bagi Syahmi Yusuf, mengamalkan pembelajaran dalam keadaan yang tidak memaksa dan mengikut kesesuaiannya juga antara faktor menyumbang kepada kejayaannya.

"Saya belajar ikut pada keadaan, bila saya rasa nak belajar baru saya belajar dan ibu bapa saya tidak memarahi saya sebab mereka faham saya akan patuh apa juga yang mereka mahukan terutama ketika mereka suruh untuk belajar.

"Bagi mencapai kejayaan kita memerlukan reda ibu bapa. Apa yang mak ayah cakap kita harus patuh baru hidup kita berkat...itu adalah kunci paling penting untuk kita berjaya selain perlu hormat kepada guru dan menunaikan solat," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada Majlis Peletakan Batu Asas Dataran Perhimpunan Berbumbung dan Hari Anugerah Cemerlang 2019 SK Taman Paroi Jaya di sini, pada Khamis.

Berbeza dengan rakannya, Aisyah Sofea pula menekankan aspek tumpuan 100 peratus ketika pembelajaran di dalam kelas serta bijak membahagikan masa merupakan kunci kejayaannya hari ini.

"Selain itu, saya juga ada membuat jadual untuk belajar sejak dari awal tahun lagi, saya akan membahagikan subjek mengikut hari dan mengambil masa selama dua jam untuk mengulang kaji mata pelajaran," katanya.

Negeri Sembilan pada tahun ini sebanyak 2.63 peratus pelajar memperoleh A dalam semua mata pelajaran berbanding 2.91 peratus pada tahun lepas.

Terdahulu, majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan beliau turut mengumumkan peruntukan RM100,000 bagi pembinaan dewan terbuka sekolah berkenaan.

-- BERNAMA