Tutup

JAINJ nafi berlaku kekerasan ketika operasi serbuan ke atas pengikut Syiah di Kempas

JAINJ nafi berlaku kekerasan ketika operasi serbuan ke atas pengikut Syiah di Kempas
TOSRIN: Serbuan menerusi Ops Hauzah yang bermula pukul 11 malam sehingga 1.30 pagi itu, dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menafikan dakwaan bahawa berlakunya kekasaran, ketika operasi serbuan pengikut kumpulan fahaman Syiah di sebuah rumah agam di Taman Bukit Kempas, di sini, Isnin lalu (9 Sept).

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata serbuan menerusi Ops Hauzah yang bermula pukul 11 malam sehingga 1.30 pagi itu, dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Katanya, serbuan dilakukan 30 pegawai penguatkuasa dan dibantu 15 anggota polis.

"Tidak ada sebarang kekerasan kerana ikut SOP, walaupun ada laporan polis yang dibuat mereka yang terlibat mendakwa ada gangguan kekerasan dalam operasi tersebut, namun, kami menafikan sekeras-kerasnya dakwaan berlaku gangguan kekerasan ketika serbuan," katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.
Tosrin berkata dalam operasi di rumah agam tiga tingkat itu, seramai 54 individu lelaki dan wanita termasuk kanak-kanak dan berusia diantara dua hingga 70 tahun ditahan.

Namun menurutnya, hanya lapan individu yang terdiri daripada empat warga tempatan termasuk ketua kumpulan berkenaan yang berusia sekitar 40-an, serta dua warga Singapura, seorang dari Yaman dan seorang dari Indonesia ditahan untuk siasatan lanjut, manakala selebihnya dibenarkan pulang dan diberikan peringatan bahawa akan dipanggil semula oleh pihak JAINJ untuk siasatan lanjut.

"Siasatan mendapati pemilik rumah berkenaan adalah bukan Islam dan kemungkinan rumah itu disewa mereka dan semasa serbuan, mereka berkata sedang membaca yasin dan tahlil, bila ditanya ada sesi kuliah, mereka menafikannya," katanya lagi.

Beliau berkata, kumpulan berkenaan dipercayai dipimpin individu yang sama, di mana sebelum ini pernah disiasat sekitar tahun 2013 sehingga 2016.

"Namun dalam operasi ini, didapati hanya tiga pengikut fahaman ini pernah ditahan sebelum ini dan dalam proses mahkamah," katanya.

Tosrin berkata tangkapan dilakukan mengikut Sesyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997 dan menjelaskan, kerajaan negeri menerusi JAINJ tetap berpegang kepada larangan ke atas amalan dan ajaran fahaman Syiah seperti diputuskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor 2014.

-- BERNAMA


Tag: JAINJ, serbuan, pengikut syiah, syiah, jabatan agama islam, johor, ops hauzah, polis, tosrin jarvanthi



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.