Jajaran ECRL akan diubah - Anthony Loke

Jajaran ECRL akan diubah - Anthony Loke
LOKE: Memang betul projek ECRL sedang dirunding dan akan ada keputusan dalam beberapa minggu ini.
SEREMBAN: Jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) disahkan akan diubah dengan memberi manfaat kepada Negeri Sembilan sekiranya ia diteruskan selepas rundingan diadakan dengan kerajaan China, hujung bulan ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook yang mengesahkan perkara berkenaan berkata keputusan ini dijangka dicapai dalam lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke republik itu yang antara lain akan membincangkan untuk mengurangkan kos pembinaan projek mega berkenaan.
"Saya sebagai Menteri Pengangkutan saya boleh sahkan apa dikatakan Menteri Kewangan Lim Guan Eng (pada Jumaat) memang betul projek ECRL sedang dirunding dan akan ada keputusan dalam beberapa minggu ini sebab Tun Dr Mahathir akan pergi ke China akhir bulan ini.

"Kalau berjaya confirm Negeri Sembilan akan dapat tempias kerana kita nak fokus pembangunan," katanya dalam sesi ceramah Pakatan Harapan pada kempen Pilihan Raya (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, di sini, Sabtu malam.

Pada Jumaat, Guan Eng dalam ceramahnya pada kempen PRK DUN Rantau antara lain memberi bayangan projek berkenaan akan diteruskan sekiranya kos pembinaannya dapat dikurangkan sehingga RM35 bilion daripada kos asal RM66 bilion.

Beliau turut memberi bayangan bahawa jajaran sistem rel berkenaan akan berubah dan akan membawa manfaat untuk Negeri Sembilan.

-- BERNAMA

Tag: ECRL, jajaran ECRL, anthony loke, negeri sembilan, kerajaan china, Lim Guan Eng, Mahathir Mohamad, China, Laluan Rel Pantai Timur


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.