Tutup

Jakim nafi pegawai minta bayaran bagi daftar premis proses daging halal

Jakim nafi pegawai minta bayaran bagi daftar premis proses daging halal
Mohamad Nordin berkata, Jakim komited mengekalkan reputasi pensijilan halal yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. - Bernama
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan pegawai jabatan itu meminta bayaran sebanyak RM50,000 bagi tujuan pendaftaran premis pemprosesan daging halal di ibu negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata Jakim mempunyai mekanisma kawalan serta mengamalkan sistem integriti yang tinggi dan telus bagi mengelakkan berlaku amalan rasuah dalam kalangan kakitangannya.
"Mekanisma ini termasuklah kerjasama yang rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di samping penempatan pegawai SPRM secara sepenuh masa di bahagian yang berisiko tinggi berlakunya rasuah," katanya.

Mohamad Nordin mengulas berhubung artikel bertajuk 'Malaysia Halal Crisis' oleh Murray Hunter di laman sesawang Asia Sentinel bertarikh 10 Oktober lalu yang mendakwa berlakunya isu integriti dan kompetensi kakitangan Jakim dalam proses pensijilan halal Malaysia.
Jakim turut menggesa penulis artikel itu serta semua pihak untuk tampil mengemukakan bukti bagi diteliti serta diambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang.

"Isu ini amat serius kerana ia boleh menyebabkan reputasi halal Malaysia tercemar dengan fitnah dan tuduhan tidak berasas," katanya menambah Jakim sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan integriti.

Mohamad Nordin ketika dihubungi Bernama turut menolak dakwaan di dalam artikel itu mengatakan kakitangan Jakim angkuh dan tidak membantu dalam proses pendaftaran, sebaliknya mereka bersedia memberikan perkhidmatan terbaik.

"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan melibatkan kakitangan Jakim atau masalah berkaitan permohonan sijil halal secara dalam talian. Kami sentiasa membantu semua pihak dan syarikat untuk mendapatkan sijil halal," katanya.

Tambahnya, Jakim komited mengekalkan reputasi pensijilan halal yang telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa serta mengalu-alukan sebarang maklum balas daripada pelbagai pihak bagi memantapkan kualiti sijil halal Jakim.

-- BERNAMA


Tag: jakim, jabatan kemajuan islam malaysia, rasuah, daging halal, daftar premis, sistem integriti, SPRM



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.