Tutup

Jakim tidak pernah haramkan sebarang perayaan atau pesta - Mujahid

Jakim tidak pernah haramkan sebarang perayaan atau pesta - Mujahid
MUJAHID: Kami mengemukakan kepada KPM cara terbaik untuk menjelaskannya kepada pihak awam dan pihak yang terlibat yang merupakan umat Islam. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak pernah mengharamkan apa-apa perayaan namun akan memberikan pendapat mengenai etika yang perlu dipatuhi umat Islam yang menghadiri sesuatu perayaan jika diminta, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menurutnya, perkara itu dijelaskan kepada mesyuarat Jemaah Menteri selepas surat pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berhubung perayaan Ponggal dikeluarkan.
"Kami (Jakim) telah ditanya pendapat kami oleh KPM. Apabila ditanya, kami memberikan pendapat kami dan dalam pendapat itu kami mengemukakan kepada KPM cara terbaik untuk menjelaskannya kepada pihak awam dan pihak yang terlibat yang merupakan umat Islam.

"Apa yang mereka katakan mengenainya bukan kami yang tulis atau karang. Mereka yang karang," katanya kepada pemberita selepas menerima peruntukan RM100 juta untuk sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan sekolah pondok di Kementerian Kewangan di sini pada Rabu.
Ponggal atau pesta menuai merupakan perayaan utama masyarakat India khususnya bagi golongan petani, dan jatuh pada bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.

Isu itu diperkatakan ekoran surat KPM bernombor rujukan KPM. 100-1/3/2 (64) bertarikh 13 Januari 2020 yang dikeluarkan bagi mengurangkan kebimbangan pihak ibu bapa murid beragama Islam dalam penglibatan anak-anak mereka semasa sambutan perayaan Ponggal di sekolah.

Menurut Mujahid, surat Jakim kepada Kementerian Pendidikan menyatakan dengan jelas bahawa ada cara untuk menghadiri program ini untuk menghormati masyarakat berbilang budaya yang ada di Malaysia.

"Sebagai umat Islam, kita dibatasi oleh etika dalam soal sambutan orang lain sama ada ia tatacara dalam upcara keagamaan atau bukan dan bagaimana seharusnya umat Islam menghadiri upacara agama lain. Persoalannya kenapa apabila (Kementerian Pendidikan) pekeliling dikeluarkan mereka tidak karang dengan betul," katanya. -- BERNAMA


Tag: ponggal, jabatan kemajuan islam malaysia, jakim, mujahid yusof rawa, surat pekeliling, kementerian pendidikan malaysia, KPM, pesta menuai, kebudayaan india



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.