Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan menyediakan pengangkutan untuk murid orang asli bagi memudahkan mereka pulang ke kampung halaman setiap dua minggu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata langkah itu diambil sebagai penambahbaikan JAKOA dalam usaha mengelak kejadian murid orang asli pulang ke kampung halaman tanpa pengetahuan guru.

Menurut Ismail, kenderaan akan disediakan bukan hanya Sekolah Kebangsaan Tohoi tetapi kesemua 94 sekolah kebangsaan orang asli yang mempunyai asrama.

"Kami mendapati pelajar ini pulang ke kampung hanya pada cuti sekolah sahaja jadi jangka masa yang lama untuk pulang terutama pelajar yang muda akan timbul kegelisahan kerana mungkin mereka terlampau rindu kepada ibu bapa mereka."

"Ini akan menyebabkan mereka akan lari dan kami sudah berbincang dengan JAKOA untuk menyediakan kenderaan bagi membolehkan mereka pulang setiap dua minggu atau mengikut keperluan. Ini untuk mengurangkan kerinduan kepada ibu bapa dan takut pulang sendiri," katanya kepada pemberita selepas melawat dua pelajar orang asli, Noreein Yakob, 10 dan Mirsudiar Aluj, 11 di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di Kota Bharu.

Ismail menjelaskan perkampungan asli dengan sekolah berasrama kebanyakannya jauh di kawasan pendalaman Kelantan.

Ia sekaligus menimbulkan risiko bahaya sekiranya murid berusia 7 hingga 12 tahun pulang sendirian atau berkumpulan ke kampung halaman mereka yang jaraknya jauh dan memakan tempoh yang lama, selain persekitaran hutan yang boleh menyebabkan mereka sesat.

Tujuh pelajar anak orang asli yang hilang merupakan penduduk Kampung Gawing dan Penad yang jaraknya empat jam perjalanan untuk ke SK Tohoi dengan kenderaan pacuan empat roda.

Sementara itu, Ismail turut memaklumkan kerajaan akan menangung sepenuhnya pengajian Noreein dan Mirsudiar, sekiranya mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Kesihatan mereka berdua juga dilaporkan semakin baik.