Jawatankuasa Bertindak berkaitan jenayah seksual kanak-kanak yang baru ditubuhkan perlu bekerjasama dengan badan bukan kerajaaan (NGO) bagi melaksanakan pelan tindakan yang lebih berkesan.

Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Prof Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din berkata kerjasama itu penting kerana NGO yang terbabit dalam perlindungan kanak-kanak mempunyai anggota berpengalaman dan kepakaran dalam isu berkenaan.

"Hanya mereka yang berurusan secara terus dengan kanak-kanak dapat menyelami perasaan mangsa jenayah seksual, dan NGO mempunyai banyak idea dan cadangan yang boleh diutarakan kepada jawatankuasa ini demi memastikan kejadian jenayah sebegini dapat dicegah pada masa depan," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai penubuhan jawatankuasa itu yang diumumkan semasa sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016, Khamis lepas.

Jawatankuasa yang diletak di bawah Jabatan Perdana Menteri itu akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said.

Azalina dalam kenyataan yang dikeluarkan Jumaat lepas berkata mesyuarat jawatankuasa itu yang dianggotai wakil Pejabat Peguam Negara dan wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diadakan dalam tempoh terdekat.

Jawatankuasa itu akan turut dianggotai anggota Parlimen, Majlis Peguam, Persatuan Peguam Syarie Malaysia, ahli-ahli akademik, NGO wanita serta anggota lain yang sesuai mengikut kepakaran dan kelayakan mengenai perkara berkenaan.

Mohamed Fadzil berkata apa yang penting sekarang ialah merangka satu pelan tindakan prapencegahan, bukannya bertindak selepas berlakunya jenayah seksual tersebut.

"Jawatankuasa Bertindak ini juga boleh mencontohi pelan tindakan pencegahan yang diguna pakai oleh negara maju yang terbukti berjaya memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya langkah pencegahan untuk membasmi jenayah seksual kanak-kanak ini," katanya.

Mohamed Fadzil turut mencadangkan jawatankuasa itu melibatkan tenaga pakar dalam psikososial dan psikokaunseling Polis Diraja Malaysia serta pakar daripada universiti tempatan dalam membuat analisis mendalam bagaimana jenayah itu berlaku.

"Dari situ, ia boleh merangka pelan tindakan dan kempen kesedaran yang harus diuar-uarkan kepada orang ramai.

"Ibu bapa dan seluruh anggota masyarakat juga perlu mempunyai kesedaran mengenai jenayah seksual kanak-kanak ini dan peka dengan keadaan sekeliling rumah dan kawasan kejiranan kerana ada kes mangsa menjadi takut dan trauma serta mendiamkan diri sehingga ke alam dewasa," katanya.

Dalam pada itu, jawatankuasa berkenaan boleh bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memberi kesedaran kepada pelajar sekolah kerana apabila dididik pada usia yang kecil, pelajar akan mempunyai pengetahuan mengenai apa yang dimaksudkan dengan gangguan seksual, katanya.

Beliau berkata keputusan perdana menteri menubuhkan jawatankuasa itu dilihat sebagai langkah prapencegahan dalam menangani jenayah seksual kanak-kanak.

"Ini menunjukkan kerajaan komited menangani jenayah berkenaan dan ia berperanan membantu KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) membasmi kes jenayah membabitkan kanak-kanak yang semakin meningkat sejak akhir-akhir ini," katanya.

Pensyarah di Fakulti Ekologi Manusia, Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Mariani Mansor berkata anggota Jawatankuasa Bertindak perlu melakukan penyelidikan lebih mendalam untuk mengenal pasti faktor yang menyebabkan kanak-kanak menjadi mangsa jenayah seksual.

"Saya berharap jawatankuasa ini dapat membentuk jalan penyelesaian terbaik yang lebih berkesan untuk melindungi kanak-kanak. Saya yakin jawatankuasa ini mampu membasmi jenayah terhadap kanak-kanak berikutan anggotanya terdiri daripada pelbagai latar belakang," katanya.