Penganjur Himpunan Rakyat Bersatu atau dikenali sebagai perhimpunan Baju Merah 16 September lalu, Datuk Jamal Md Yunos perlu dikenakan tindakan undang-undang kerana mengancam untuk mengadakan satu lagi perhimpunan atau protes di Petaling Street Sabtu ini.

Memetik laporan The Star Online, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Wee Ka Siong menyifatkan tindakan Jamal yang juga Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, sebagai tidak bertanggungjawab dan boleh mendatangkan rusuhan.

"Beliau melampaui batas dan seolah-oleh menggunakan undang-undang sendiri.

"Bagaimana beliau boleh mengancam negara ini dengan satu rusuhan?" tegas Wee.

Tindakan Jamal menurut Wee, bukan sahaja mencemar imejnya sebagai pemimpin politik, tetapi juga imej negara.

Penganjur ketika perhimpunan 16 September lalu, antara lain mendakwa barangan tiruan dijual di kawasan Petaling Street atau lebih dikenali sebagai Chinatown, yang merupakan kawasan tumpuan pelancong.

Perhimpunan itu turut menuntut peniaga di Petaling Street supaya berkongsi sebahagian daripada pendapatan mereka dengan kaum lain dan menamatkan monopoli di kawasan itu.

Jamal pada Rabu mengeluarkan ancaman kepada pihak berkuasa menyebut kemungkinan mengadakan satu lagi perhimpunan di Petaling Street sekiranya tuntutan mereka tidak dipenuhi pada Khamis.

Wee menekankan kepada Jamal, wujud saluran yang betul untuk mengemukakan aduan kepada kerajaan.

Tegas Wee, tindakan mengancam atau memberi kata dua kepada kerajaan untuk mencetuskan rusuhan adalah menyalahi undang-undang.