Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mengumumkan kemungkinan akan meletakkan jawatan sebagai Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar serta semua jawatan dalam badan bukan kerajaan (NGO) yang disandang beliau.

Pengerusi Gabungan NGO Gerakan Merah Malaysia (GNGMM) itu membuat pengumuman selepas dibebaskan bersama sembilan tahanan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada kira-kira pukul 7 malam ini.

BACA: Jamal dan pengikut didakwa 'samun' barang berharga dari premis yang diserbu

BACA: Jamal ditahan lima hari berhubung serbuan premis judi

Video pengumuman kemungkinan peletakan jawatan beliau berdurasi 1.21 minit turut dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau sebentar tadi.

“Hari ini saya ingin mengumumkan berkemungkinan akan meletakkan jawatan saya sebagai Ketua Umno Bahagian, Pengerusi BN Parlimen Sg Besar, Pengerusi NGO Selangor dan Pengerusi Gabungan NGO Malaysia.

“Bagi saya jawatan yang dipegang untuk masyarakat ini tidak dapat dipergunakan sepenuhnya sebaliknya selepas ni saya akan mengusahakan perniagaan judi haram seperti taukeh-taukeh judi yang lain kerana usahakan judi haram ini mempunyai kekebalan, keistimewaan berbanding jawatan-jawatan sebagai pemimpin masyarakat,” katanya.

Khamis lepas, Jamal ditahan di kediamannya dan ditahan reman lima hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan berhubung serbuan ke atas beberapa premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian di sekitar Selangor.

Pada Disember tahun lepas, Jamal bersama beberapa yang lain telah 'menyerbu' beberapa premis berkenaan di Ampang, Selangor.