Selepas gagal menghadirkan diri ke IPD Ampang Jaya bagi memberi keterangan kepada polis, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos dilihat ‘sembunyi’ di ladang kelapa sawit.

Rakaman video kenyataan media diberikan kepada pihak media melalui aplikasi pesanan ringkas, Whatsapp pada petang tadi.

Melalui video berdurasi lebih 7 minit berkenaan, Jamal dilihat berada dalam sebuah ladang kelapa sawit yang tidak didedahkan lokasinya.

Dalam kenyataannya, Jamal menjelaskan beliau tidak hadir ke IPD Ampang Jaya kerana bimbang dengan tekanan dan serbuan dilakukan pihak berkuasa.

BACA: Mana Jamal Yunos? Hanya peguam hadir di IPD Ampang Jaya


Beliau juga mendakwa diperlakukan seperti seorang penjenayah.

Justeru, beliau mahu satu jaminan supaya tidak dizalimi pihak-pihak terlibat.

“Saya yakin bukan saya seorang sahaja akan dikenakan tindakan sebegini. Rakan lain pun akan diberi tindakan. Sebab itu saya tidak hadir ke IPD Ampang Jaya hari ini.

“Saya mohon maaf kepada rakyat Malaysia tentang apa berlaku. Saya diburu sejak pertama Ramadan. Saya bukan larikan diri,” ujarnya.