Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini memfailkan saman fitnah terhadap pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir berhubung dakwaan
menggunakan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi
membiayai perjalanan ke luar negara.

Beliau memfailkan writ saman itu menerusi Tetuan Adnan Sharida & Associates di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Jamil Khir ketika ditemui pemberita berkata tindakan saman itu bertujuan membersihkan nama dan sebagai usaha menghentikan budaya memfitnah yang dilakukan sewenang-wenangnya.

"Semua kenyataan defendan adalah tidak benar. Saman ini untuk membersihkan nama anak guam saya. Plaintif tidak gentar dan takut sebab semua dakwaan ini fitnah.

"Saman seperti ini (saman fitnah) mesti digalakkan sebab fitnah sebegini telah menjadi 'culture of impunity' (budaya bebas daripada hukuman). Jadi, kita mahu menghentikan keadaan ini yang mana individu boleh bercakap sesuka hati tanpa berfikir, hanya untuk menjatuhkan orang lain," katanya.

Jamil Khir yang hadir di mahkamah turut menyatakan bahawa tindakan saman itu bagi mendapatkan keadilan terhadap apa yang telah dibuat terhadap dirinya.

Menerusi pernyataan tuntutan itu, Jamil Khir mendakwa Akmal atau nama sebenarnya Akmal Nasrullah Mohd Mohd Nasir (defendan) yang juga Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor Bahru, telah memfitnahnya ketika memberi kenyataan kepada media dan di laman web menggunakan nama NOW pada 13 Nov lepas.

Beliau mendakwa antara kata-kata fitnah itu ialah berkenaan pembiayaan perjalanan ke luar negara, bermain golf dan lawatan ke pusat beli belah membabitkan kos antara RM410,978 hingga RM590,000.

"Plaintif (Jamil Khir) telah mengeluarkan kenyataan media pada 14 Nov menafikan sekeras-kerasnya perkataan fitnah itu dan menuntut defendan untuk memohon maaf serta menarik balik perkataan itu dalam tempoh 24 jam.

"Namun demikian, sehingga hari ini defendan enggan dan gagal memohon maaf. Sebaliknya defendan sekali lagi memberi kenyataan pada 14 Nov lepas," dakwa Jamil Khir dalam pernyataan itu.

Selain itu, Jamil Khir mendakwa Akmal menerbitkan kata-kata fitnah itu tanpa pengesahan terlebih dahulu hingga ia membawa maksud beliau seolah-olah tidak amanah, ahli politik yang menyeleweng dana anak yatim serta menyalah guna kuasa.

Beliau mendakwa Akmal berbuat demikian bagi menjatuhkan maruahnya dan menanam kebencian rakyat bagi meraih sokongan politik kepada parti PKR.

Pada Isnin lepas (16 Nov), peguamcara yang mewakilinya telah menghantar surat tuntutan kepada defendan bagi meminta permohonanan maaf, menarik balik kata-kata fitnah tersebut serta membayar ganti rugi RM10 juta, namun defendan enggan melakukannya.

Berikutan dakwaan itu, Jamil Khir menuntut perintah injunksi dikeluarkan bagi menghalang defendan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya, gantirugi am, gantirugi teruk serta permohonan maaf dalam cara dan bentuk yang diluluskan olehnya sendiri.