Jabatan Perhutanan Negeri Pahang akan mengeluarkan surat arahan pemberhentian sementara kerja kepada pelesen dan kontraktor susulan pendedahan berlakunya kerja-kerja pembalakan di Janda Baik walaupun notis pemberhentian dikeluarkan sejak 15 Ogos lalu.

Pengarahnya, Datuk Hizamri Yasin dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah mengarahkan kerja penolakan jalan dan tebangan pokok dihentikan serta mesin-mesin yang ada dibawa keluar dari tapak projek.

"Pihak kontraktor telah menjalankan kerja penolakan jalan dan tebangan beberapa batang pokok yang telah ditanda untuk tapak kongsi dan jalan hutan. Kerja penolakan jalan telah dibuat sejauh 300 meter daripada kerja terakhir yg dibuat iaitu selepas kawasan Sungai Kemoncak.

"Pihak kontraktor telah dimaklumkan secara lisan untuk menghentikan sementara kerja penolakan jalan sebelum ini iaitu selepas sesi townhall yg diadakan pada 14 Ogos, 2018 lepas berdasarkan persetujuan bersama di antara TNB, ADUN Ketari, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), JAS Pahang dan penduduk kampung supaya projek ini dihentikan sementara utk dibincangkan diperingkat tertinggi iaitu parlimen," kata Hizamri.

Jelasnya, kontraktor hanya dibenarkan membuat kerja mitigasi untuk kerja-kerja penolakan tanah yang telah dibuat.

BACA: EKSKLUSIF: Tun M, selamatkan Janda Baik kami!

Beliau berkata, selepas disoal, pihak kontraktor memaklumkan bahawa mereka keliru dengan keputusan yang telah dibuat.

"Sehubungan dengan itu, pentadbiran ini telah mengarahkan kerja penolakan jalan dan tebangan pokok dihentikan dan mesin-mesin yang ada diarahkan dibawa keluar ke kongsi. Pentadbiran ini juga telah mengarahkan kerja mitigasi sahaja yang dibenarkan sehingga 30 September 2018 seperti arahan bertulis JAS kepada kontraktor," ujarnya.

Sementara itu, ADUN Ketari, Young Syefura Othman ketika dihubungi Astro AWANI berkata, beliau kecewa dengan alasan kontraktor yang keliru dengan notis berkenaan.

"Saya dimaklumkan bahawa kontraktor yang keliru (dengan notis). Bagi saya, saya tidak berpuas hati sebab saya sudah minta kerja pemberhentian dari awal lagi. Kalau tidak faham kenapa mereka tidak faham atau keliru," katanya lagi.

Susulan itu, beliau akan mendapatkan perkembangan terkini daripada Jabatan Perhutanan Pahang dari semasa ke semasa bagi mengetahui tindakan selanjutnya mengenai isu berkenaan.

Sebelum ini, hasil tinjauan Astro AWANI bersama penduduk Janda Baik berjaya mendedahkan kegiatan pembalakan yang masih berlaku di laluan jajaran projek pembinaan menara TNB di kawasan berkenaan walaupun notis pemberhentian kerja sudah dikeluarkan hasil perjumpaan dengan penduduk pada 14 Ogos lalu.