Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin merayu kepada jemaah tabligh yang berada di negeri itu dan negeri lain yang terbabit dengan perhimpunan di Sri Petaling baru-baru ini agar segera melakukan pemeriksaan di pusat-pusat kesihatan yang disediakan.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebooknya, Dr Asri berkata, beliau dimaklumkan terdapat kalangan jemaah tabligh yang menyertai himpunan di Sri Petaling masih belum melakukan pemeriksaan.

"Ada yang memberikan alasan penyakit dari Allah, kita perlu redha. Ada pula yang berkata 'masjid tempat baik, tiada jangkitan akan berlaku '.

"Ada pula berkata 'jangan takut virus tapi takut Allah'. Ada pula berkata 'kalau mati syahid' dan pelbagai lagi falsafah yang disalahgunakan," tulis beliau.

Beliau menjelaskan terpulang kepada mana-mana individu untuk tidak membuat pemeriksaan sekiranya COVID-19 tidak berjangkit.

"Namun, bagi virus yang mudah berjangkit seperti ini, ditambah dengan kehadiran saudara-saudara secara aktif ke masjid dan surau, amatlah salah kerana telah membahayakan masyarakat yang lain.

"Agama melarang kita membahayakan pihak lain tanpa alasan yang benar," kata Dr Mohd Asri.

Jelas beliau, amat tidak wajar bagi jemaah tabligh menambah beban kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Di Perlis misalnya, beliau berkata, pihak KKM terpaksa membuat operasi untuk mencari jemaah tabligh yang menyertai perhimpunan di Sri Petaling.

"Berikanlah kerjasama dan kasihanilah umat Islam yang lain. Bahkan bukan muslim sekalipun tidak boleh kita bahayakan mereka.

"Janganlah saudara-saudara hadir ke masjid atau selainnya melainkan saudara-saudara disahkan selamat," rayu beliau.

Baru-baru ini, pihak KKM meminta peserta yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dari 27 Februari hingga 1 Mac lalu memberi kerjasama kepada agensi itu bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak merebak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, berdasarkan maklumat awal, perhimpunan tabligh itu membabitkan kira-kira 10,000 orang dari beberapa negara termasuk kira-kira 5,000 dari Malaysia.