Walaupun pelbagai kempen kesedaran sudah dijalankan bertahun lamanya, masih ramai dari kalangan rakyat Malaysia, terutamanya orang Sabah, yang naif tentang Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit (AIDS), kata aktivis AIDS Dr Zaiton Yahaya.

Atas sebab itu, katanya, beliau komited dalam usaha meningkatkan kefahaman masyarakat, terutamanya kepentingan dalam mendapatkan rawatan saringan awal mengenai penyakit itu.

Beliau yang juga pengasas Persatuan Kesedaran AIDS Sabah (SAGA), dipilih sebagai penerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Yayasan AIDS Malaysia (MAF) 2019 atas sumbangannya memberi kesedaran kepada masyarakat tentang AIDS di negara ini.


Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan Sandakan berusia 56 tahun itu berkata, persatuan yang beliau naungi itu cuba mengubah stigma dan rasa malu masyarakat.

Ini supaya, selain selain pengesanan awal, ia dapat membantu mencegah penyakit itu dari terus menular.

“Selain memberikan khidmat nasihat dan ubat-ubatan sesuai, SAGA turut menyediakan bantuan kewangan bagi menampung kos tambang bagi pesakit HIV/AIDS mendapatkan rawatan sebelum terlambat.

“Ia perlu kerana masalah utama kebanyakan pesakit HIV/AIDS di Sabah, ialah kemiskinan serta kesedaran yang rendah untuk mendapat rawatan berterusan selepas dikesan menghidap penyakit ini," katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menerima anugerah tersebut pada Jamuan Malam Anugerah Tun Dr Siti Hasmah MAF-Berjaya di sini, malam tadi.

Anugerah itu, berserta trofi dan wang tunai RM20,000, disampaikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Turut hadir, Penaung Majlis AIDS Malaysia (MAC) Datin Paduka Marina Mahathir dan Pengerusi MAC Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.

Mengulas lanjut, Dr Zaiton berkata, beliau mengharapkan semua pihak termasuk kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan dan masyarakat dapat berganding bahu dalam memerangi stigma serta diskriminasi terhadap pengidap penyakit berkenaan.

“Stigma dan sikap diskriminasi ini yang membuatkan masyarakat takut untuk tampil ke hadapan. Tanpa diskriminasi ini, mereka akan menjadi lebih yakin untuk mengambil langkah membuat ujian saringan HIV,” katanya lagi.

Dalam majlis itu, Marina turut mengumumkan jumlah dana terkumpul iaitu sebanyak RM2.4 juta, dan ia akan digunakan sepenuhnya bagi membantu pesakit AIDS.