Krisis integriti di kalangan kakitangan awam boleh dielak dengan memastikan setiap individu tidak menyalahgunakan kuasa untuk penyelewengan.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Akhbar Satar berkata, ia termasuk mengisytiharkan harta dan memantau kakitangan yang mempunyai kehidupan terlalu mewah.

"Semua kakitangan awam juga perlu memastikan diri tidak terlibat dalam pemberian kontrak kepada ahli keluarga.

"Pastikan juga kakitangan kerajaan tidak melibatkan diri dan memberi kontrak kepada adik-beradik, saudara mara atau sesiapa yang berkaitan kerana ia perbuatan melanggar undang-undang terutama Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009).

"Seharusnya ketua jabatan sentiasa memantau pagawai mereka yang hidup terlalu mewah, terlalu rapat dengan pelanggan, tidak mahu bercuti dan tidak mahu naik pangkat kerana mereka seolah-olah berada di lombong emas," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa menggesa mana-mana pihak agar melaporkan kepada SPRM sekiranya mengetahui mengenai penjawat awam yang dilihat hidup terlalu mewah.

Pada masa sama, Dr Ali menasihatkan ahli keluarga penjawat awam agar memainkan peranan menasihatkan individu berkenaan untuk kembali bertaubat.

Sementara itu jelas Akhbar, isu integriti harus diselesaikan segera demi meningkatkan tahap perkhidmatan pegawai kerajaan itu sendiri.

"Apa sahaja sistem yang diperkenalkan, walaupun ia diambil dari universiti terkenal dunia tidak akan memberi manfaat jika ia tidak memberi apa-apa manfaat jika pegawai itu tidak mempunyai integriti.

"Semua harus faham, kalau ditangkap dan dipenjara, kita akan hilang segala-galanya. Hilang kawan, keluarga dan sahabat handai. Ini pengajaran jika kita buat perkara yang tidak baik," katanya.

Akta SPRM 2009 memperuntukkan kesalahan rasuah meminta atau menerima suapan di bawah seksyen 16 dan 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu menawar atau memberi suapan di bawah seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009, mengemukakan tuntutan palsu di bawah seksyen 18 Akta SPRM 2009, menggunakan jawatan atau kedudukan untuk suapan pegawai badan awam di bawah seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada 5 kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi di bawah seksyen 24 Akta SPRM 2009.