Mengenakan tindakan keras terhadap golongan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) bukan jalan terbaik untuk menyedarkan mereka, kata Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu berkata, sebaliknya ada banyak jalan lain untuk membimbing golongan itu.

“Kita boleh ambil jalan mudah untuk menghukum dan mengambil tindakan keras terhadap mereka yang terlibat. Tetapi sebenarnya ada jalan lain yang lebih baik.

“Antaranya ialah usaha untuk mendekati mereka, berdialog, memberi kefahaman Islam yang sebenar dan memberi hak asasi sama seperti rakyat Malaysia lain. Namun, dalam masa sama kita kena perjelaskan sebenarnya Islam ini adalah agama fitrah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, asasnya dari sudut hukum, aktiviti LGBT bertentangan dengan ajaran Islam dan kerajaan hari ini juga jelas menolak kefahaman ini.

“Tindakan yang mereka lakukan sebenarnya bertentangan dengan Islam dan fitrah. Pilihan mereka tidak akan selesaikan masalah mereka.

“Nak menyelesaikan masalah mereka ialah kembali kepada Islam sebenar dan insyaAllah ia dapat dicapai. Yang penting semua pihak termasuk kerajaan, NGO dan individu turut sama-sama menyumbang ke arah tersebut,” katanya.

Katanya, isu timbul timbul kerana Islam tidak diberikan ruang secukupnya dalam sistem pendidikan sebelum ini.

“Sebab itu lahirnya generasi seperti ini, namun kita perlu sama-sama cari jalan penyelesaiannya,” katanya.