Kerajaan didesak agar menghentikan usaha pihak ketiga yang mahu mengambil alih pegangan saham majoriti dalam FGV Holdings Berhad.

Pengerusi Lembaga Pengarah Peladang (LPP), Datuk Mazlan Aliman berkata jika usaha pihak ketiga itu berjaya, Pakatan Harapan (PH) bakal dilabelkan sebagai pengkhianat.

“Saya merayu pimpinan jangan sesekali beri laluan pada pihak ketiga mengambil alih FGV dan saya menyeru tanah FGV diberikan kepada Felda.

“Bagaimana air mata masyarakat Felda pada satu ketika dahulu, dan inilah perjuangan kita untuk mendapat sokongan masyarakat Felda.

“Saya tegaskan di sini, kalau ‘move’ (langkah) pihak ketiga ini berjaya, kerajaan PH akan dituduh pengkhianat kepada masyarakat Felda.

"Kita semua akan terima akibat buruk,” katanya dalam ucapan penggulungan Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah 2019, di Pusat Konvensyen Ideal Centre (IDCC), Shah Alam, pada Ahad.

Mazlan juga menjelaskan pihaknya telah menulis satu surat kepada Pengerusi Felda untuk mempertahankan kepentingan milik agensi itu agar tidak dilepaskan sehingga memberi laluan kepada usaha pihak ketiga itu.

Sebelum ini dilaporkan tokoh perniagaan terkemuka, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary mempunyai pelan untuk menguasai FGV dengan membeli 20 peratus kepentingan dalam syarikat gergasi perladangan itu.