Kajian pengurusan sumber secara arif dan teratur perlu dilakukan bagi mengelak kontroversi dan kekeliruan dalam kalangan rakyat terhadap isu aset Selangor, seperti yang terjadi kepada syarikat pelaburan kerajaan, 1Malaysia Development Berhad, (1MDB) kata Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Perbincangan perkara ini (pengurusan sumber dan aset) mesti diteruskan supaya rakyat tidak khuatir. Boleh jadi juga rakyat berada dalam keadaan yang tidak senang seperti berlaku dalam perbincangan 1MDB," katanya.

Beliau berkata tiada keperluan untuk menubuhkan Darul Ehsan Investment Group (DEIG) buat masa ini bagi menguruskan sumber-sumber di Negeri Selangor.

Jelas Khalid, tindakan itu umpama membaiki labu yang sudah rosak.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pelabuhan Klang berkata kajian bagi melihat cara terbaik untuk mengumpul sumber negeri dan adalah apa yang patut dilakukan ketika ini supaya rakyat tidak khuatir mengenai pengurusan aset oleh kerajaan negeri itu.

"Semasa saya menjadi Menteri Besar Selangor, MBI Incorporated ini sudah hilang dalam gabungan syarikat-syarikat sehinggakan kita tidak tahu berapa banyak aset dalam MBI dan saya mengambil masa lebih daripada empat tahun bersama exco lain untuk membetulkannya.

"Kemudian baru kita tahu, kita mempunyai aset yang banyak, bukan sedikit tapi lebih daripada RM6,000 juta. Ini tidak termasuk Air Selangor yang asetnya melebihi RM15 bilion.

"Jadi untuk ini, rakyat Selangor mesti mempunyai perasaan waspada sebab pertama, ketika mula-mula saya masuk, kita teguhkan rizab negeri dan kemudian mengumpulkan aset. Namun untuk proses kedua-kedua ini perlu diurus degan tatacara yang telus.

"Itulah sebabnya saya letakkan MBI supaya ada laporan terus kepada Dewan Undangan Negeri supaya setiap kali ada persidangan dewan, ada laporan," tambah Khalid ketika ditemui di Masjid Seksyen 7, Shah Alam selepas selesai solat Jumaat pada petang tadi.


Jelasnya, sebagai Bekas Menteri Besar Selangor, beliau hanya mahu mengingatkan betapa pentingnya aset diuruskan dengan tatacara yang telus agar tiada lagi penyelewengan berlaku.

"Saya percaya, sekarang masih lagi ada usaha untuk membincangkan perkara ini sebelum apa-apa perlaksanaan dibuat."