Tutup

Jangan buat spekulasi tindakan panggil KSU kementerian - SPRM

Jangan buat spekulasi tindakan panggil KSU kementerian - SPRM
SPRM meminta orang ramai tidak membuat spekulasi berhubung siasatan yang sedang dijalankan pihaknya. -Gambar fail
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang tidak berasas berhubung satu siasatan yang sedang dijalankan pihaknya.

Kenyataan itu merujuk kepada satu laporan blog Sabahkini2.com berhubung siasatan SPRM terhadap seorang Ketua Setiausaha sebuah kementerian.
"SPRM ingin menjelaskan bahawa kenyataan yang dimaklumkan oleh blog itu sebagai suatu yang tidak berasas serta mengelirukan orang ramai. SPRM ingin menjelaskan bahawa kes berkaitan masih di peringkat awal siasatan.

"Sehubungan itu, SPRM memohon semua pihak jangan membuat spekulasi yang tidak berasas," menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada Khamis, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Isham Ishak dilaporkan berkata beliau dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabu, bagi membantu siasatan dan bukannya untuk disiasat.

Beliau dilaporkan berkata selaku pegawai pengawal kementerian, beliau dipanggil bagi memperjelaskan berkenaan prosedur kementerian serta perkara-perkara yang berlaku di kementerian itu.

-- BERNAMA