Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Jangan campur tangan, LTTE kekal kumpulan pengganas - Muhyiddin

Jangan campur tangan, LTTE kekal kumpulan pengganas - Muhyiddin
Muhyiddin berkata Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri. - Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) masih lagi diklasifikasikan sebagai kumpulan pengganas oleh kerajaan Malaysia sejak 12 November 2014, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, beliau mempunyai asas yang kukuh untuk mengekalkan status kumpulan itu berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain agensi kawal selia atau pengawasan yang berkaitan.
"Saya ingin menegaskan bahawa penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan oleh undang-undang," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan tersebut susulan gesaan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas semalam supaya Muhyiddin selaku Menteri Dalam Negeri mengkaji semula kedudukan LTTE sebagai kumpulan pengganas.
Muhyiddin berkata Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri.

BACA: LTTE: Peguam Negara hentikan prosiding terhadap 12 tertuduh serta merta

BACA: LTTE: Polis belum terima makluman rasmi daripada pejabat Peguam Negara

Mengikut Seksyen 66B (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Menteri Dalam Negeri berkuasa untuk menyenaraikan individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan keganasan sebagai Entiti Yang Ditentukan,”  katanya./p

Beliau berkata berdasarkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa, kumpulan itu dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam dan keselamatan negara. 

" Justeru, adalah menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi dan kegiatan yang berkaitan kumpulan ini,” katanya.

Untuk rekod, selain Malaysia, beberapa buah negara lain turut mengisytiharkan dan mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dalam senarai negara masing-masing, antaranya, India, Kanada, Amerika Syarikat dan United Kingdom, kata Muhyiddin. 

Semalam, 12 individu yang didakwa menyokong LTTE termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, G. Saminathan dan ADUN Seremban Jaya P. Gunasekaren akan dibebaskan selepas Peguam Negara membuat keputusan untuk menghentikan prosiding terhadap mereka.

Dalam kenyataan media 11 muka surat, Thomas memutuskan tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap mana-mana 12 tertuduh ke atas mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.

- BERNAMA


Tag: Kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam, LTTE, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin, Polis Diraja Malaysia, PDRM, pengganas, Peguam Negara, Tommy Thomas, AMLATFPUAA, AMLA



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.