Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan membenarkan sebarang percubaan untuk merosakkan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hubungan dua hala antara kedua-dua negara kini berada di arah yang betul dan berkembang maju dalam semua sektor.

Bagaimanapun, beliau berkata beberapa pemimpin pembangkang cuba untuk mengelirukan dan menyemai kebencian dalam kalangan rakyat dengan menuduh kerajaan menggadai kedaulatan negara menerusi hubungan strategik itu.

Memberi contoh pembeli hartanah warga China di Forest City, Johor, yang didakwa pembangkang kononnya akan memperoleh kewarganegaraan Malaysia dan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan yang merupakan kawasan larangan kepada rakyat Malaysia, Najib berkata semua pembohongan itu bertujuan menanam rasa curiga antara Malaysia dan China.

"Hakikatnya, pemimpin kita yang terdahulu berkata jika pembangkang berkuasa, mereka akan membatalkan semua kontrak dengan China.

"Kita tidak boleh membenarkan perkara ini. Jika pembangkang mengambil alih, hubungan dengan China akan terhakis," katanya pada majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina Huazong di Wisma Huazong di Seri Kembangan dekat sini hari ini.