Majikan perlu menghentikan sebarang diskriminasi terhadap pekerja yang berdepan masalah kesihatan mental dan sebaliknya memastikan mereka mendapat rawatan serta sokongan sewajarnya.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata majikan perlu bertanggungjawab memastikan pekerja menghadapi masalah itu menerima kaunseling dan dirujuk kepada pakar psikologi.

Pekerja yang mengalami masalah kesihatan mental juga tidak harus digantung atau dibuang kerja dengan sewenang-wenangnya, katanya ketika menjadi panel perbincangan pada sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia anjuran Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA) di sini hari ini.

''Majikan juga perlu menekankan soal promosi kesihatan mental melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan supaya pekerja yang menghadapi masalah itu diberi perlindungan dan pembelaan," katanya.

Beliau berkata langkah menjaga kesihatan mental dan emosi pekerja pas-tinya akan meningkatkan produktiviti yang membawa kebaikan kepada sesuatu organisasi.

Dalam kenyataan mengenai perkara sama, Lee berkata masanya telah tiba untuk kerajaan memperkenal sistem penilaian kesihatan mental susulan peningkatan pelbagai isu berkaitan sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, pembangunan indeks penilaian psikologi seumpama itu boleh dilaksana Kementerian Kesihatan dan hasilnya digunakan untuk merancang program berterusan bagi menangani isu-isu kesihatan mental.

"Saya juga mencadangkan supaya setiap organisasi mengambil kira risiko tekanan dan aspek psikososial berkaitan pekerjaan sebagai sebahagian daripada strategi keselamatan dan kesihatan ke arah mengurangkan kemalangan dan kecederaan di tempat kerja,'' tambah Lee.

Di BESUT, majikan digesa berusaha menyediakan persekitaran kerja yang kondusif supaya wujud keseimbangan antara kehidupan dan pekerjaan bagi mengelakkan tekanan mental serta kemurungan, kata Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Putera, Mohd Mahdi Musa.

Katanya, sekiranya perkara itu diambil mudah oleh majikan, pekerja mereka akan sentiasa menghadapi tekanan dalam tugasan harian yang akhirnya boleh membawa kepada kerendahan dalam kualiti kerja dan gagal menyumbang kepada peningkatan produktiviti.

"Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang dilaksanakan pada tahun 2015 mendapati prevalens masalah kesihatan mental di kalangan penduduk termasuk pekerja yang berumur 16 tahun ke atas di seluruh negara ialah sebanyak 29 peratus manakala di Terengganu mencatatkan angka 26 peratus", katanya.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud merasmikan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2017 peringkat negeri Terengganu di Kompleks Rakan Muda Besut di sini hari ini.

Mohd Mahdi seterusnya memberitahu tugasan kerja boleh mencabar kesihatan mental pekerja sekiranya mereka terlalu terbeban dengan tugasan, tidak merasa selamat atau dihargai serta dihormati majikan masing-masing semasa menjalankan tugas seharian.

Katanya, antara petanda kesihatan mental di kalangan pekerja terganggu boleh dikenal pasti melalui meningkatnya kesilapan dalam menjalankan tugasan, mudah hilang tumpuan semasa bekerja, bermasalah dalam membuat keputusan, prestasi kerja merosot dan kurang ceria.

Beliau menyarankan agar majikan sentiasa membuat pemantauan terhadap pekerja masing-masing bagi memastikan tidak berlakunya gangguan kesihatan mental yang sekiranya dibiarkan boleh membawa kepada kesan yang lebih buruk.

-- BERNAMA