REALITINYA 18 daripada 19 kaum lelaki mendambakan sebuah ikatan perkahwinan.

Agama pula dalam masa sama membenarkan lelaki memiliki lebih daripada seorang isteri, dengan syarat wajib berlaku adil dan bertanggungjawab.

Menyentuh perihal tanggungjawab, selain nafkah zahir dan batin, lelaki atau suami atau ketua keluarga perlu peka dengan amal ibadah seisi keluarganya.

Lazimnya. sebuah keluarga yang harmoni akan meluangkan masa melakukan amal secara berjemaah seperti solat, berbuka puasa atau mengerjakan umrah dan haji sekeluarga.

Namun begitu, bagaimana pula dengan tanggungjawab menunaikan zakat? Apakah zakat wajib untuk ketua keluarga sahaja atau seluruh anggota keluarga perlu berzakat?

Wajib Zakat Harta Kepada Semua Umat Islam

Menjadi tanggungjawab seorang lelaki atau penjaga dalam sesebuah keluarga itu untuk mentaksirkan dan menunaikan zakat harta seperti simpanan wang anak-anak dan ahli tanggungan mereka.

Malah setiap individu yang beragama Islam di dalam rumah termasuklah orang kurang upaya, orang kurang waras, anak yatim, anak tidak sah taraf, anak angkat, datuk dan nenek perlu membayar zakat harta apabila harta yang diwarisi mereka cukup syarat yang ditetapkan.

Syarat wajib zakat harta tidak menetapkan syarat baligh atau berkaitan dengan umur.

Syarat wajib zakat harta mestilah seseorang itu beragama Islam, merdeka, memiliki harta dan cukup haul bermaksud cukup tempoh setahun (haul) memiliki harta tersebut dan sampai nisab iaitu paras minimum nilai harta yang ditentukan.

Menjadi tanggungjawab penjaga, wali mahupun ketua setiap keluarga Islam untuk membantu tunaikan kewajipan zakat harta ini untuk mereka yang berada di bawah tanggungan mereka.

Zakat @ Family Lembaga Zakat Selangor

Lembaga Zakat Selangor (LZS) baru baru ini melancarkan kempen Zakat @ Family yang bertujuan memberi kesedaran kepada ketua keluarga, penjaga atau wali kepada mereka yang belum memiliki keluarga atau tanggungjawab sendiri untuk menunaikan zakat harta seperti dituntut dalam Islam.

Jika anak-anak dan ahli keluarga lain mempunyai simpanan melebihi nisab, mereka layak untuk menunaikan zakat harta sebanyak 2.5 peratus dan ini menjadi tanggungjawab penjaga atau ketua keluarga untuk memastikan pembayaran zakat harta untuk diri sendiri, pasangan dan tanggungan diselesaikan sewajarnya.

Ketahuilah yang zakat harta daripada anda mampu membantu keluarga lain dari golongan asnaf yang memerlukan ketika ini.

Contohnya, LZS kini sedang mengagihkan bantuan peralatan persekolahan dan yuran kepada lebih 30,000 keluarga asnaf, golongan fakir dan miskin