Jangan jadikan kawasan pantai sebagai tapak pesta untuk melihat ombak besar dan angin kencang yang melanda negeri Terengganu ketika ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A. Rahman berkata orang ramai juga diminta tidak melakukan sebarang aktiviti di sepanjang kawasan pantai dalam tempoh amaran Ribut Pabuk tersebut.

Menurut Che Adam, peringatan itu bagi menggelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku termasuk kecederaan akibat di hempap dahan pokok dan sebagainya.

“Semua komuniti atau penduduk diminta supaya tidak berada di kawasan pantai dalam tempoh yang mana ribut siklon tropika ataupun Ribut Pabuk ini berlangsung dalam tempoh dua hingga tiga hari ini.

“Kita jangkakan mungkin berlarutan sehingga 3hb ataupun 4hb (Januari) yang mana sedikit kesan telah kita alami di kawasan pinggir pantai di sebahagian besar negeri Terengganu ini, membawa ke utara Terengganu,” katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Rabu.

BACA: Jangan dekati pantai untuk tempoh 48 jam


Tambah Che Adam, pihaknya khuatir boleh berlaku sebarang implikasi ataupun musibah yang boleh menyebabkan kecederaan ataupun kemalangan seperti struktur binaan yang agak rapuh boleh runtuh atau objek ringan boleh berterbangan dan mendatangkan bahaya.

Fenomena cuaca berikutan ribut tropika Pabuk boleh menyebabkan hujan lebat, angin kencang melebih 50 kilometer sejam dengan ketinggian ombak melebih 3.5 meter di perairan Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Che Adam berkata, pihaknya juga turut melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan berisiko itu.

Jelasnya rondaan secara berkala itu turut dilakukan di lokasi yang berisiko berlakunya bencana banjir.