Pelakon, pengarah dan usahawan Datuk Rosyam Nor berharap budaya tikam-menikam dan cubaan menjatuhkan perniagaan orang lain dihapuskan dalam diri setiap individu terutama dalam kalangan usahawan.

Jelasnya, tindakan itu disifatkan sebagai satu persaingan tidak sihat yang tidak sepatutnya wujud dalam keusahawanan dan perniagaan.

"Budaya tikam-menikam dan jatuh-menjatuh ini saya rasa memang ada dan banyak. Mungkin melalui kata-kata atau pun dalam sekarang ini di media sosial dan saya rasa itu tak sihat.

"Jadi, saya nak sarankan kepada semua bahawa apa yang kita buat pada orang, Allah akan buat balik," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.


Malah, katanya, persaingan sihat dan tidak sihat berlaku dalam masyarakat pelbagai kaum dan bukan hanya melibatkan usahawan Bumiputera.

"Ini berlaku dalam semua bangsa dalam dunia, di Malaysia juga. Itu dinamakan persaingan. Namun sama ada persaingan itu sihat atau tidak. Kalau yang menjadi tidak sihat itu ialah apabila kita cuba menjatuhkan perniagaan seseorang itu tidak sihat.

"Namun kalau kita bersaing secara cantik, kita mungkin dapat rasa cemburu kejayaan seseorang, itu akan menyedarkan diri kita bagaimana untuk kita turut berjaya seperti orang itu. Kalau kita cuba menjatuhkan perniagaan orang, perniagaan kita juga akan jatuh," kata beliau lagi.

Justeru, beliau mencadangkan agar lebih baik usahawan menumpukan kepada usaha untuk mengukuhkan kedudukan perniagaan mereka berbanding bersikap negatif terhadap individu lain.

Dalam pada itu katanya, kekangan utama kepada usahawan Bumiputera ialah pengalaman dalam menceburi dalam bidang perniagaan.

Pada masa sama, masalah modal menjadi isu kedua kerana ketika ini banyak agensi-agensi kerajaan yang menyediakan pembiayaan perniagaan kepada mereka.