Tutup

Jangan kejar populariti dalam memberi bantuan banjir - YDP Agong

Jangan kejar populariti dalam memberi bantuan banjir - YDP Agong
Al-SUltan Abdullah bertitah dalam majlis Persembahan Taklimat Bagi Persediaan Agensi Tindak Balas Menghadapi Bencana Tahun 2019/2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang. - Bernama
KUANTAN: Semua pihak yang ingin membantu mangsa banjir diingatkan supaya melakukannya dengan ikhlas dan bukan bertujuan meraih populariti semata-mata, titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah, setiap bantuan yang diberikan kepada mangsa banjir itu mestilah dilakukan dengan ikhlas dan bukan untuk keuntungan diri sendiri sahaja.
"Saya harapkan mereka yang mahu membantu, buat dengan ikhlas... Jangan ambil kesempatan untuk untung diri sendiri atau semata-mata untuk cari undi.

"Tolong mangsa kalau mereka masih lagi dilanda masalah bantuan. Kalau ada keupayaan untuk bersedekah, kita bersedekah. Kalau ada keupayaan untuk beri sehelai dua baju, hulurkan sedikit kepada mereka.
"Kalau kita ada beras yang lebih hulurkanlah ini sedikit sebanyak meningkatkan sifat positif dan ikhlas dalam membantu mangsa banjir," titah baginda ketika mencemar duli mendengar Persembahan Taklimat Bagi Persediaan Agensi Tindak Balas Menghadapi Bencana Tahun 2019/2020 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Taklimat berkenaan disempurnakan oleh Ketua Polis Pahang, Datuk Abd. Jalil Hassan.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor dan Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Baginda bertitah, semua agensi yang terbabit dengan pengurusan bencana termasuk pemimpin setempat diminta menjalankan tanggungjawab secara bersama  dan perlu laksanakan dengan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.

"Saya berharap semua pihak perlu peka dengan kesukaran sedang dihadapi mangsa banjir yang mana kediaman mereka rosak atau ditenggelami air, jadi kita perlu membantu mereka dengan sebaik mungkin," titah baginda.

Dalam pada itu, pihak bertanggungjawab menguruskan pusat penempatan sementara (PPS)  perlu memastikan segala kemudahan asas diperlukan dapat disediakan dengan sempurna.

"Saya ada beberapa kali melawat PPS sebelum ini dan antaranya tidak mempunyai kemudahan yang sepatutnya malah ada bilik air yang tidak mempunyai bekalan air," titah baginda.


Tag: al-sultan abdullah, yang di-pertuan agong, mangsa banjir, bantuan mangsa banjir, kebajikan, kerja amal



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.