Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta orang ramai agar tidak melakukan sebarang tindakan termasuk mengeluarkan kenyataan yang boleh membakar sentimen perkauman sehingga menjejas ketenteraman awam.

Mengulas mengenai insiden kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights awal pagi Isnin, Muhyiddin berkata langkah itu merupakan kerjasama bagi membantu pihak polis mengawal dan menjalankan siasatan menurut peruntukan undang-undang.

"Saya memandang serius insiden ini dan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat keharmonian dan keamanan negara.

"Saya dimaklumkan pada ketika ini pihak polis telah membuat tangkapan ke atas beberapa suspek dan siasatan sedang dijalankan di bawah Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata polis telah diminta mengawal keadaan serta menyiasat kejadian itu secara terperinci dan pihak yang didapati melanggar undang-undang akan dibawa ke muka pengadilan.Seramai 17 lelaki tempatan ditahan setakat ini, bagi membantu siasatan kekecohan itu. -- BERNAMA