Undang-undang sedia ada perlu dipinda agar cubaan membunuh diri tidak diklasifikasikan sebagai perbuatan jenayah, kata Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye.

Katanya, ia adalah langkah yang pertama sekali perlu dilakukan sebelum kerajaan melalui kementeriannya dapat membangunkan pangkalan data pendaftaran, atau registry, dalam usaha mengenal pasti pelaku, tingkah laku, faktor, serta langkah bersesuaian untuk menangani isu cubaan bunuh diri.

“Memang hasrat kerajaan bangunkan registry untuk cubaan bunuh diri, tetapi ada halangan juga untuk bangunkan. Sebelum dibangunkan, kita perlu decriminalise suicide. Ini seharusnya jadi langkah pertama," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Lee berkata demikian sewaktu menjawab soalan Dr Kelvin Yii Lee Wuen (PH - Bandar Kuching) yang ingin mengetahui langkah kerajaan dalam usaha menangani tekanan oleh pemberi khidmat nasihat dalam kes cubaan bunuh diri termasuk doktor, pakar psikiatri dan jururawat.

“Kalau tak decriminalise, suicide akan jadi under-reporting, tak akan dilaporkan. Jadi, registry tak lengkap dan tak tepat.

"Bukan setakat kita sokong decriminalise suicide kerana nak bangunkan registry ini, tetapi kita tak mahu orang yang cuba bunuh diri dihukum sekali lagi, kerana criminal code berkenaan,” katanya lagi.

Dr Lee berkata, kementerian mencadangkan agar Seksyen 305, 306 dan 309 Kanun Keseksaan dikaji semula.

“Kalau berjalan lancar. Kita sasarkan 2020 kita lancarkan registry untuk suicide,” tambahnya.



Dalam pada itu, beliau berkata, Kajian Morbidity Kesihatan Kebangsaan 2017 mendapati tingkah laku bunuh diri dalam kalangan remaja 13 hingga 17 tahun menunjukkan peningkatan trend bagi prevalent idea bunuh diri sebanyak 10 peratus.

“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), dari 2014 hingga Jun 2019, 356 kes bunuh diri telah dilaporkan di seluruh Malaysia.

“Kaum Cina mencatat jumlah teringgi dengan 147 kes, kaum India (76 kes), kaum Melayu (47 kes) dan lain-lain (17 kes). Manakala 69 kes lagi bagi bukan warga negara Malaysia,” kata Dr Lee.