Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menasihatkan calon-calon dan parti yang bertanding tidak melakukan provokasi melalui kain rentang dan poster kempen yang tidak sepatutnya.

Pengerusinya, Azhar Azizan Harun berkata, tindakan itu hanya mengganggu ketenteraman awam.

“Kita nak senangkan pengundi keluar mengundi dan ini tidak sepatutnya berlaku. Saya harap pihak terlibat tidak melakukannya,” katanya dalam sidang media selepas melawat proses semakan akhir isi peti undi dan agihan peralatan kepada ketua-ketua pusat mengundi di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Serbaguna SJKC Bandar Sri Sendayan.

Sebelum ini katanya SPR menerima laporan mengenai kempen tanpa permit, banner tidak mengikut laporan dan banner oleh parti tidak bertanding.

Sebelum ini, terdapat beberapa kain rentang provokasi dan menggelar calon dengan perkataan sensitif mencemarkan 14 hari kempen PRK DUN Rantau.