Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini beri jaminan kadar semasa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) iaitu 6 peratus, tidak akan dinaikkan, seperti mana yang didakwa pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, tuduhan itu dilontarkan semata-mata untuk memupuk sentimen negatif terhadap pentadbiran masa kini.

“Saya ingin jamin kepada rakyat Malaysia, bahawa kadar GST kita adalah antara yang terendah di dunia, dan jumlah barangan dan perkhidmatan yang dikecualikan atau zero-rated, barangkali paling banyak didunia.

“Dan saya juga ingin beri jaminan, bahawa kerajaan tidak ada cadangan nak naikkan kadar GST,” katanya sewaktu berucap merasmikan Hari Kastam Sedunia ke-36 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengumumkan peningkatan jumlah kutipan GST bagi tahun 2017, iaitu sebanyak RM44 bilion, berbanding RM41 bilion pada tahun sebelumnya.

Untuk unjuran kutipan bagi 2018 pula, Datuk Seri Najib berkata, beliau telah dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia Datuk Seri Subromaniam Tholasy bahawa ia mungkin mencecah RM45 bilion.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa bangga kepada pihak Kastam atas komitmen mereka dalam melaksanakan tugas yang diamanah.

“Saya merasa bangga, kerana Jabatan Kastam menunjukkan komitmen dalam mengawal dan memastikan kadar ketirisan dan salah guna kuasa dapat dikurangkan kepada tahap yang paling minima.

“Tahun lalu sahaja, Jabatan Kastam berjaya menyelamatkan hasil lebih RM1 bilion melalui kejayaan mematahkan cubaan menyeludup komoditi seperti kenderaan, rokok dan minuman keras,” katanya lagi.