Orang ramai diminta tidak risau untuk menggunakan produk Vida Beauty Sdn Bhd selain Whitening Pro 9 yang ditarik jualannya dari pasaran.

Pemilik Vida Beauty Sdn Bhd Datuk Seri Dr Hasmiza Othman berkata, produk berkenaan akan diteliti pihaknya selain mengakui akur dengan arahan Kementerian Kesihatan terhadap jualan Qu Puteh Whitening Pro 9 dan Qu Puteh UV Block berkenaan.

“Saya perlu meneliti perkara ini dan saya rasa untuk sementara waktu akan menarik balik produk ini dari pasaran.

BACA: Produk Qu Puteh mengandungi merkuri, KKM larang penjualan

“Pengguna semua tidak perlu risau menggunakan produk Qu Puteh yang lain kerana melepasi piawaian yang telah ditetapkan,” katanya menerusi rakaman suara yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp kepada beberapa kumpulan WhatsApp media di sini hari ini.

Dr Vida mengulas larangan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang tidak membenarkan lagi Whitening Pro 9 dijual.

Kata Dr Noor Hisham, larangan terbabit dikeluarkan selepas produk berkenaan telah diuji dan dikesan mengandungi merkuri yang tidak dibenarkan di dalam produk kosmetik.

Selain Malaysia, The Times Brunei turut melaporkan, Kementerian Kesihatan Brunei juga mengharamkan penjualan produk kosmetik krim Whitening Pro 9 Qu Puteh dan produk kosmetik Whitening UV Block Qu Puteh, dan produk ketiga yang dinamakan Chantique Beauty Slimming Herbal.

Sebelum ini, Dr Vida menggemparkan dunia bola sepak negara dengan tajaan RM16 juta kepada pasukan Liga Super The Red Warriors (TRW).

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa juga dilaporkan berkata, tajaan itu juga bukan hanya tertakluk kepada bayaran gaji pemain semata-mata.

Jelasnya, ia turut melibatkan perancangan pemilik Dr Vida sendiri dalam pembangunan bola sepak di Kelantan.