Blok pembangkang menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membanteras kegiatan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, polis tidak harus tunduk kepada tekanan politik.

Ia susulan kenyataan yang dibuat Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang kononnya polis berjanji tidak ada lagi tangkapan terhadap pemimpin DAP.

“Dalam hubungan ini, kami Pembangkang melahirkan rasa kesal dengan tindakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dilihat mencampuri urusan polis dengan kenyataan beliau bahawa (kononnya) polis berjanji tidak ada lagi tangkapan terhadap pemimpin DAP.

“Kita berharap polis tidak tunduk kepada tekanan politik. Siasatan dan tangkapan mesti diteruskan termasuk terhadap mereka yang mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen mewakili blok pembangkang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), hari ini.

Tegas Ismail, Malaysia tidak sepatutnya dijadikan pusat untuk LTTE meneruskan operasi mereka.

Malah, pihaknya turut melahirkan kekesalan terhadap tindakan segelintir pihak yang
menyamakan perjuangan LTTE dengan perjuangan rakyat Palestin.

“Ini kerana rakyat Palestin menerima pendatang Yahudi namun kemudian bumi itu dirampas rejim zionis.

"Justeru, jadikan Palestin sebagai asas untuk menyokong pertubuhan pengganas LTTE. Buatlah kajian sejarah terlebih dahulu,” tegas beliau.

Polis pada Khamis menahan tiga lelaki termasuk dua ahli Dewan Undangan Negeri DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan, dipercayai ada hubungan dengan kumpulan pengganas Sri Lanka.