MALAYSIA
Jangan sampai kes seperti Kevin Morais itu berulang - Peguam

Perlindungan kepada Hakim Hamid perlu disegerakan. - Gambar hiasan
Susulan pendedahan yang dibuat oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer mengenai bahawa terdapat campur tangan pihak tertentu melibatkan kes di mahkamah, perlu dipandang serius oleh kerajaan dan juga semua pihak.
Menurut peguam Mohamed Hanif Khatri Abdulla, satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala tuduhan yang terkandung dalam affidavit tersebut perlu segera dilaksanakan sebelum satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) boleh dibentuk.
Dalam masa yang sama katanya tahap keselamatan terhadap Hamid sepatutnya ketika ini telah ditingkatkan memandangkan pendedahan yang dilakukan oleh beliau itu melibatkan pihak ketiga dan boleh dikategorikan sebagai sangat berisiko.
"Jika anda tanya saya (sama ada adakah Datuk Dr Hamid kini dalam keadaan berisiko) dia telah buat satu pertuduhan yang melibatkan pihak ketiga yang membantu kroni-kroni atau pihak-pihak tertentu dalam kerajaan dalam membuat duit haram.
"Jadi adakah secara logiknya mereka sanggup untuk didedahkan? Semestinya tidak! Dan kalau mereka tidak hendak didedahkan adakah kemungkinan mereka akan mengambil tindakan yang tidak wajar? Tentulah ada kemungkinan. Kepada siapa? Yang pertamanya tentu kepada Hamid," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada Selasa.
"Kita tidak mahu perkara seperti apa yang menimpa Datuk Anthony Kevin Morais itu berulang. Kita tidak mahu apabila pendedahan ini dibuat maka pihak-pihak syarikat swasta yang khuatir siasatan dilakukan terhadap mereka mungkin mengambil tindakan yang memberi risiko keselamatan kepada Hakim Hamid," katanya.
Dalam affidavit sokongan setebal 65 muka surat itu, Hakim Hamid Sultan berkata bahawa terdapat campur tangan dalam beberapa kes di mahkamah termasuk melibatkan kes peguam terkenal Karpal Singh yang didakwa atas tuduhan menghasut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami