Pengendali pusat tahfiz dinasihatkan agar tidak berasa sangsi dengan kejujuran kerajaan pusat dalam usaha membantu menambah baik ciri-ciri keselamatan yang ada di tempat mereka demi memastikan keselamatan pelajarnya.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata setakat ini lebih kurang 100 pusat tahfiz tidak berdaftar digugurkan daripada senarai baik pulih pendawaian elektrik oleh pelajar GiatMARA, dan satu daripada sebabnya adalah enggan membenarkan pemeriksaan dilakukan kerana berbeza fahaman politik.

Bagaimanapun, katanya, ada pusat tahfiz yang tidak memerlukan penambahbaikan kerana sudah berada dalam keadaan yang baik atau tidak beroperasi lagi.

"Ada pusat tahfiz yang tidak benarkan kita masuk kerana mungkin fahaman politik berbeza... jadi saya harap yang mana belum benarkan, berilah kebenaran, jangan bimbang, kita tidak ada isu bermain politik dalam hal ini.

"Yang penting, kita hendak anak-anak belajar di pusat tahfiz yang lebih selamat... perdana menteri sangat sensitif dengan apa yang berlaku dan kita tidak mahu lagi berlaku kejadian seperti kebakaran," katanya kepada pemberita selepas tinjauan mesra di Maahad Tahfiz Al-Hikmah Lilbanat dekat sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, setakat ini 442 daripada 721 pusat tahfiz tidak berdaftar di seluruh negara yang dikategorikan sebagai kritikal dalam aspek pendawaian, selesai dibaik pulih.

Katanya, setelah kerja menambah baik aspek keselamatan pusat tahfiz tidak berdaftar siap sepenuhnya awal Mac ini, ia akan diteruskan kepada 612 pusat tahfiz berdaftar di seluruh negara dan keseluruhan proses itu dijangka siap selewatnya Mei ini.

Beliau berkata untuk fasa seterusnya, pihaknya juga akan melihat perkara-perkara lain melibatkan ciri keselamatan, misalnya keperluan membina tangga sisi di luar untuk bangunan dua tingkat.

"Tumpuan diberikan kepada pusat yang tidak berdaftar dahulu kerana kebanyakan bangunan mereka dibina sendiri dan memang tiada ciri keselamatan," katanya.

-- BERNAMA