Tutup

Jangan sebar berita palsu 16 orang hilang di Rompin

Jangan sebar berita palsu 16 orang hilang di Rompin
Baru-baru ini, terdapat mesej tular di WhatsApp yang menyatakan ada berlaku kes budak-budak berusia antara 12 hingga 20 tahun hilang akibat hendak diambil kepala, hati, tangan dan kaki mereka. - Gambar hiasan
KUANTAN: Orang ramai digesa supaya berhenti menyebarkan berita palsu mengenai kehilangan 16 orang berusia 12 hingga 20 tahun yang konon telah diambil beberapa bahagian anggota badan mereka.

Ketua Polis Daerah Rompin, DSP Azli Mohd Noor turut menafikan ada menerima sebarang laporan orang hilang berkaitan kejadian tersebut.
"Berita palsu yang disebar melalui aplikasi WhatsApp sejak dua hari lalu yang telah menggemparkan masyarakat, turut memberi amaran menyatakan lokasi selanjutnya akan berlaku di Kluang, Mersing dan Kahang di Johor," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.


Tambah beliau, orang ramai diminta supaya berhenti menyebarkan berita berkenaan kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat.
Baru-baru ini, terdapat mesej tular di WhatsApp yang menyatakan ada berlaku kes budak-budak berusia antara 12 hingga 20 tahun hilang akibat hendak diambil kepala, hati, tangan dan kaki mereka.

Mesej itu turut mendakwa suspek, yang menaiki motosikal, kini berada di kawasan Kahang, Kluang dan Mersing di Johor. 

Azli berkata, sekiranya terdapat sebarang berita yang meragukan, orang ramai seharusnya mendapatkan pengesahan terutama daripada polis terlebih dahulu sebelum menyebarkannya.