PIHAK sekolah perlu telus dan tidak menyembunyikan pelajar-pelajar yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah demi menjaga imej sekolah.

Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik, berkata sekolah harus berterus-terang dan melaporkan masalah yang berlaku dalam kalangan pelajar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Kadang-kadang pihak sekolah ini tidak mahu mencalarkan imej sekolah dan menyembunyikan fakta bahawa pelajar-pelajar terlibat dengan dadah.

“Sebenarnya, tidak perlu. Sebenarnya, pihak sekolah perlu melaporkan pelajar yang cenderung untuk terlibat dengan dadah.

“Ia sangat penting kerana apabila laporan yang telus dibuat kepada PDRM, AADK dan pihak berkuasa, gejala penyalahgunaan dadah di sekolah secara tidak langsung akan mengecil dan terhakis,” katanya.


Jasni berkata demikian ketika mengulas isu hampir dua juta pelajar sekolah dikenal pasti berisiko terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negara ini.

Menurut laporan AADK, 2,024 sekolah rendah dan 996 sekolah menengah dengan jumlah keseluruhan 3,020 sekolah berada di 178 kawasan berisiko tinggi.






Ia membabitkan dua juta pelajar yang berisiko terbabit dalam penyalahgunaan dadah jika tiada langkah pencegahan awal dilakukan.

Jasni turut berkata, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) perlu bergerak secara aktif di seluruh pelosok negara dalam menyalurkan maklumat dan membantu mendidik masyarakat tentang bahaya dadah serta implikasinya.