Tindakan beberapa individu yang mengeluarkan "fatwa" berlandaskan kefahaman sendiri dan melabelkan suspek sebagai "syahid" serta "polis kafir" adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.

Itu tegas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, susulan tindakan memuatnaik kenyataan bersifat provokasi dan berbaur hasutan di laman laman sosial berhubung kejadian amuk seorang lelaki yang mati ditembak polis di Pulau Pinang Isnin lalu.

Menurut beliau, pihaknya tidak sesekali menerima sebarang kenyataan atau fatwa yang membelakangkan undang-undang termasuk menghalang anggota polis daripada melakukan tugas mereka.

Tambah Abdul Hamid, ketika ini beliau sudah pun mengarahkan agar kertas siasatan berhubung kenyataan tersebut dibuka selain memanggil beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

"Ada lagi orang yang tidak bertangungjawab, keluarkan fatwa dia sendiri, nak mensyahidkan orang, ini satu perbuatan yang tak bertanggungjawab.

“Saya ambil berat perkara ini sebab sekiranya apa yang dikatakan itu, syahidkan orang, apa pula jadi kedudukan anak buah saya yang telah menembak budak itu untuk hendak menyelamatkan keadaan, jadi apa kedudukan pegawai saya yang ambil tindakan tersebut? kafir ke?" katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Hari Inovasi PDRM 2019, di kampus induk Universiti Malaysia Perlis, Pauh, pada Jumaat.


Terdahulu, tiga lelaki yang memuatnaik kenyataan berunsur hasutan dan perkauman di Facebook, ditahan pihak polis pada Khamis,,

Kesemua mereka yang masing-masing berusia 28, 32, dan 42 tahun ditahan di Pulau Pinang dan Kedah antara jam 1.15 petang pada Khamis hingga jam 12.30 tengah malam tadi.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hamid sekali lagi menegaskan bahawa berdasarkan siasatan awal, suspek yang meninggal dunia akibat ditembak polis didapati terpengaruh dengan video keganasan ekstrem di negara Asia Barat yang ditonton menerusi media sosial.