“Ini kerana apa-apa pun subjek yang kita ambil dalam kehidupan ini ada cabarannya. Jika anda tidak faham, anda boleh bertanya dengan cikgu serta mencari penyelesaian di internet untuk lebih memahaminya.”

Demikian luahan Aezzra Marvin Vincent, 18, yang berjaya mengharumkan nama Malaysia selepas diiktiraf terbaik di dunia dalam matematik menerusi Pemeriksaan Penilaian Antarabangsa Pendidikan Cambridge (Advanced Subsidiary Level) Julai 2019.

Aezzra yang berketurunan Bidayuh dari Sarawak ini memperoleh markah tertinggi di dunia dalam mata pelajaran itu seterusnya menerima anugerah berprestij semasa Outstanding Cambridge Learner Awards.

“Sejujurnya, Matematik adalah subjek kegemaran saya sejak kecil lagi, saya selalu buat ulang kaji, melihat topik-topik baharu, meneroka perkara baharu dan belajar dengan cikgu-cikgu dan matematik adalah subjek yang menyeronokkan bagi saya,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Anak muda ini sedang mengikuti Program Persediaan A-Level Jerman di German-Malaysian Institute (GMI), Bangi dan dijangka melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda di sebuah university di Jerman pada Mac depan.



Aezzra ketika dihubungi turut mendedahkan bahawa dia merancang melanjutkan pengajian dalam program kejuruteraan kimia.

“Saya rasa sungguh gembira dan teruja apabila mengetahui saya pemenang terbaik di dunia untuk Anugerah Level-A dan saya rasa semua kerja keras saya terbayar," katanya.


Dua tahun lalu menerusi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Aezzra memperoleh keputusan cemerlang 10A+ ketika tamatkan persekolahan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuching.