Jentera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diminta tidak terlalu dibuai kejayaan lalu. Sebaliknya terus bekerja keras untuk pastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) nanti.

Ingatan dibuat Naib Presiden PBB Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yang mahu jentera parti mempersiapkan diri bagi mengekalkan momentum sokongan rakyat Sarawak terhadap parti itu.

"Keputusan cemerlang pada pilihan raya lalu tidak harus dipandang ringan.

"Kerjasama dan kekuatan jentera katanya akan sentiasa diperkemaskan sebagai persiapan menghadapi PRN-12 tidak lama lagi," katanya selepas mengadakan Randau GPS-PBB N4 Pantai Damai bersama Kampung Semarang di sini pada Jumaat.

Hadir sama Timbalan Ketua PBB Cawangan Pantai Damai Drahman Jaladin, Ketua Wanita PBB Cawangan Pantai Damai Jamaiyah Sulaiman dan Ketua Pemuda PBB Cawangan Pantai Damai Sebki Jen.

Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata walaupun Pantai Damai sering dikaitkan sebagai kawasan ‘putih’ namun ia bukan alasan untuk tidak bekerja keras untuk mengekalkan kejayaan sebelum ini.

Untuk rekod dalam PRN-11, Abdul Rahman mencatat undi majoriti tertinggi iaitu 9,260 undi menewaskan pencabarnya Zainal Abidin Yet dari PAS.

Sementara dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, saluran undi Pantai Damai merekodkan majoriti 9,170 undi iaitu rekod terbesar di Parlimen Santubong.