Rakyat Sarawak disaran supaya terus bersatu dan tidak terpengaruh dengan anasir luar yang cuba memecah-belahkan perpaduan rakyat negeri ini.

Menurut Ketua Menterinya, Datuk Patinggi Abang Johari Openg, rakyat Bumi Kenyalang perlu yakin mampu berdiri sendiri untuk menentukan hala tuju pembangunan Sarawak.

“Anasir-anasir luar sedang sedaya upaya melemahkan keseperpaduan kita.

“Segelintir kita sudah mula lupa akan perjuangan kita bersama untuk mempertahankan hak-hak Sarawak dan rela dikuasia oleh orang lain untuk kepentingan masing-masing,” katanya pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Sarawak, di sini hari ini.

Turut hadir Yang Dipertuan Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dan Menteri Utiliti Sarawak, Datuk Sri Dr Stephen Rundi.

Jelas Abang Johari, Sarawak tidak akan dapat mengecapi pembangunan seperti mana yang dimiliki sekarang tanpa kesepaduan seluruh rakyat negeri itu.

“Lebih 50 tahun kita telah mengharapkan orang lain membanti kita supaya Sarawak boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negeri-negeri yang sudah maju,” katanya.

Justeru itu, beliau berharap kerjasama daripada semua pihak khususnya rakyat dalam memastikan kemakmuran negeri Sarawak terus terjamin.

“Sempena Hari Sarawak tahun ini saya mengajak seluruh rakyat Sarawak berdoa agar Bumi Kenyalang ini selamat daripada penguasaan orang luar dan sentiasa dipelihara oleh Allah SWT,” katanya.

Tahun ini, buat julung kalinya Bintulu dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Sarawak berbanding sebelum ini diraikan di Kuching.