Menziarahi pusara atau kubur dilarang di Sarawak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung.

Arahan itu dikeluarkan Majlis Islam Sarawak (MIS) bagi mengekang penularan virus COVID-19.

Menerusi satu kenyataan hari ini Setiausaha MIS, Khalidi Ibrahim berkata, pihaknya mengambil maklum kelaziman umat Islam menziarahi pusara ahli keluarga masing-masing sempena kedatangan Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

“Bagaimanapun, dalam suasana wabak COVID-19 masih menular dan sebagai mematuhi pelaksanaan PKP, aktiviti menziarahi pusara di mana-mana tanah perkuburan Islam di seluruh Sarawak adalah dilarang sepanjang tempoh sekatan pergerakan ini,” katanya.

Kenyataan Majlis Islam Sarawak (MIS) berhubung larangan menziarahi kubur ketika tempoh PKP

Jelasnya arahan itu berkuatkuasa sehingga 28 April atau sehingga tamat tempoh pelanjutan PKP yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan kerajaan Sarawak.

"Sehubungan itu, umat Islam digalakkan untuk berdoa kepada arwah yang berkenaan di rumah masing-masing," katanya.

Bulan Ramadan dijangka bermula 24 April manakala Hari Raya Aidilfitri dijangka disambut 24 Mei depan.