Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Jargon berkaitan COVID-19

Jargon berkaitan COVID-19
Coronavirus adalah sejenis virus yang menyebabkan penyakit pernafasan dalam haiwan dan manusia. Corona bermaksud mahkota kerana bentuk 'spike' atau pepaku seperti mahkota pada permukaan virus itu. REUTERS
KUALA LUMPUR: Tatkala COVID-19 mencetuskan keadaan cemas dan mengusarkan di seluruh dunia, tidak dapat dinafikan ia membantu dalam menambah perbendaharaan kata ramai orang dalam tempoh kira-kira tiga bulan lepas.

Apa yang pasti, COVID-19, yang tertera dalam ayat di atas, adalah perkataan baharu dalam perbendaharaan kata kita.

WHO, Pertubuhan Kesihatan Sedunia, memberikan nama COVID-19 bagi penyakit virus corona yang mula berlaku di Wuhan, China, pada akhir Disember 2019.

CO membawa maksud corona, VI bagi virus dan D bagi 'disease' atau penyakit . Kemudian diletakkan tanda sempang (-) dan 19, yang merujuk kepada 2019.
Sehingga 11 Feb, apabila WHO merumuskan terma itu, COVID-19 dirujuk sebagai novel coronavirus, novel bermaksud baharu. Virus itu sebenarnya digelar sindrom pernafasan akut teruk coronavirus 2(SARS-CoV-2).

WHO, sentiasa memastikan amalan terbaik dalam menamakan penyakit baharu yang menjangkiti manusia, bertujuan untuk meminimumkan kesan negatif nama penyakit itu terhadap perdagangan, pelancongan atau kebajikan haiwan, dan mengelakkan ia menimbulkan penghinaan terhadap mana-mana kebudayaan, sosial, negara, profesional atau kumpulan etnik.
Dengan itu diberi nama COVID-19. Dan bukannya virus Wuhan atau virus penduduk China.

Coronavirus adalah hanya sejenis virus yang menyebabkan penyakit pernafasan dalam haiwan dan manusia. Corona bermaksud mahkota kerana bentuk "spike" atau pepaku seperti mahkota pada permukaan virus itu.

Jenis lain virus corona ialah virus MERS-CoV yang menyebabkan Sindrom Pernafasan Timur Tengah atau MERS, yang pertama kali dikenal pasti pada 2012, dan SARS-CoV yang menyebabkan Sindrom Pernafasan Akut Teruk atau SARS, dikenal pasti pada 2003.

Kes COVID-19 yang pertama berlaku di Wuhan. WHO mendefinisikannya sebagai outbreak (wabak) berikutan jumlah kes penyakit itu lebih tinggi daripada jangkaan biasa.

Kemudian, anda mungkin berjumpa dengan perkataan epidemic (epidemik) dan pandemic (pandemik).

Kamus mendefinisikan epidemic (epidemik), sebagai tercetusnya sesuatu penyakit yang menjangkiti banyak orang dalam kalangan populasi, komuniti, atau rantau pada sesuatu masa.

Ia mendefinisikan pandemic (pandemik) sebagai wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas sehingga ke seluruh wilayah, benua atau dunia dan menjangkiti sejumlah besar populasi. Sama seperti kes COVID-19, iaitu di seluruh dunia.

WHO mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik pada 11 Mac.

Apa yang kita patut tahu adalah COVID-19 menular daripada seorang kepada seorang yang lain menerusi rembesan pernafasan yang berada di udara apabila orang yang dijangkiti bersin atau batuk.

Seseorang itu juga mungkin mendapat penyakit itu dengan menyentuh permukaan atau objek yang ada virus itu dan kemudian menyentuh mulut, hidung atau mata.

Pada peringkat itu, orang yang dijangkiti mungkin ada atau tidak menunjukkan sebarang symptoms (simptom) atau tanda-tanda penyakit itu. Dia mungkin asymptomatic (tidak menunjukkan sebagai gejala bagi penyakit itu) atau symptomatic (bergejala).

Simptom COVID-19 adalah demam, batuk dan sesak nafas. Perlu ingat ia adalah penyakit pernafasan.

Simptom boleh muncul dalam tempoh 14 hari selepas terdedah kepada virus itu. Dua minggu itu merupakan incubation period (tempoh inkubasi), bermula dari saat terdedah kepada virus itu sehingga tanda-tanda atau simptom penyakit itu muncul.

Individu yang berada dalam jarak satu meter daripada orang dijangkiti yang bersin atau batuk berisiko untuk dijangkiti. Mereka dirujuk sebagai close contacts (kontak rapat) atas faktor kedekatan mereka dengan orang yang dijangkiti untuk tempoh waktu tertentu.

Atas sebab itu orang ramai digalakkan untuk mengamalkan social distancing (jarakan sosial) yang dalam bahasa mudahnya jarakan diri antara satu sama lain, sekurang-kurangnya satu meter, atau, seperti dicadangkan oleh beberapa negara, dua meter.

Bekerja dari rumah, menutup sekolah dan pejabat, dan membatalkan atau menangguhkan perhimpunan atau mesyuarat membabitkan ramai orang adalah bentuk jarakan sosial.

Ia bertujuan untuk memecahkan chain of infection (rantaian jangkitan), bermakna menghentikan penyebaran penyakit itu.

Sebaik sahaja individu disahkan dijangkiti, dia perlu diasingkan, biasanya di hospital. Isolation (isolasi atau pengasingan) memisahkan orang yang sakit dengan orang yang tidak sakit.

Bagaimanapun, individu yang disyaki dijangkiti perlu dikuarantin. Quarantine (kuarantin) adalah memisahkan dan menyekat pergerakan orang ramai daripada terdedah kepada penyakit itu untuk melihat sama ada mereka sakit.

Rakyat Malaysia yang dibawa pulang daripada negara yang mengalami wabak COVID-19 dikuarantin selama 14 hari sebelum disahkan bebas penyakit itu dan dibenarkan pulang ke rumah.

Sesetengah orang memilih untuk secara sukarela melakukan kuarantin diri, biasanya di rumah mereka, untuk memastikan mereka selamat dan tidak dijangkiti penyakit itu, dan, jika mereka melakukannya, untuk tidak mendedahkannya kepada orang lain.

Sebaik sahaja seseorang itu dikenal pasti dan dimasukkan ke hospital, contact tracing (pengesanan kontak) bermula. Ini adalah proses untuk mengenal pasti orang (kontak rapat) yang mungkin mempunyai kontak dengan orang dijangkiti.

Pengesanan kontak biasanya membawa penyiasat kesihatan kepada sumber jangkitan itu berasal. Sumber itu mungkin di luar negara sekiranya orang dijangkiti mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara baru-baru ini atau mungkin dalam perhimpunan atau mesyuarat dalam negara, yang kemudian dikenal pasti sebagai cluster (kluster).

Semua kontak rapat akan diminta menjalani ujian saringan COVID-19. Mereka akan dikuarantin sementara menunggu keputusan ujian dan diasingkan di hospital jika positif penyakit itu.

Rumah dan pejabat bagi orang yang dijangkiti akan disinfected (disinfeksi atau nyahkuman), dibersihkan untuk memusnahkan kuman itu.

Kerajaan semua negara yang mencatatkan jangkitan COVID-19 melaksanakan pelbagai langkah untuk memperlahankan, dan akhirnya menghentikan penularan penyakit itu. Ini bagi memastikan jumlah kes harian pada tahap terkawal untuk pekerja penjaga kesihatan. Ini bagi flattening the curve (mendatarkan keluk jangkitan).

Ia bagi mengekang exponential spike atau kadar peningkatan kes menjadi lebih cepat dan lebih cepat lagi tatkala penyakit itu menjangkiti lebih banyak orang.

Malaysia menguatkuasakan Movement Control Order (MCO) (Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)) bagi tempoh dua minggu mulai 18 sehingga 31 Mac, untuk mengawal dan akhirnya menghentikan penularan COVID-19. PKP diisytiharkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Tempoh PKP kini telah dilanjutkan dua minggu lagi sehingga 14 April.

Duduk di rumah. Kekal selamat. Terus dapatkan maklumat.

-- BERNAMA