Tindakan protes dan solidariti terhadap kematian George Floyd yang kini merebak lebih 70 bandar di Amerika Syarikat, menyebabkan kedutaan Malaysia di negara itu mengambil langkah berjaga-jaga.

Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Azmil Mohd Zabidi menyarankan supaya rakyat Malaysia menjauhi kawasan perhimpunan dan mengikut nasihat pihak berkuasa tempatan.

“Nasihat pihak kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat kepada warganegara Malaysia di sini ialah agar mereka sentiasa berwaspada dan berhati-hati untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan mereka.

“Mereka juga disarankan untuk menghindari kawasan demonstrasi, tinggal di rumah dan mematuhi perintah berkurung yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI menerusi satu rakaman video pada Selasa.

Tambahnya lagi, mana-mana rakyat Malaysia yang belum berdaftar dengan kedutaan adalah dinasihatkan agar berbuat demikian secepat mungkin bagi tujuan komunikasi dan penyelerasan sekiranya terdapat sebarang kecemasan.

Sejak beberapa hari lepas, demonstrasi telah berlaku di lebih daripada 70 buah bandar di seluruh Amerika Syarikat termasuk Washington DC, Bandar New York, Los Angeles, Denver, Chicago, Philadelphia, Atlanta dan banyak lagi.

Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa setakat ini tiada sebarang laporan melibatkan warganegara Malaysia.

“Setakat ini pihak kedutaan tidak menerima sebarang laporan mengenai warganegara Malaysia yang cedera dalam krisis ini.

“Bagi sesiapa yang memerlukan bantuan kaunselor, mereka boleh menghubungi pihak kedutaan di Washington DC atau pejabat pejabat konsulat Malaysia di New York ataupun di Los Angeles,” jelasnya.