PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi menegaskan pendiriannya akan menyerahkan jawatannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh tiga tahun.

“Setakat yang saya tahu, saya telah berjanji bahawa saya akan berundur dan Anwar akan menggantikan saya," kata Perdana Menteri kepada wartawan CNBC, Tanvir Gill di Bangkok, Thailand pada Sabtu ketika Sidang Kemuncak Asean.

Dr Mahathir pada masa sama turut menegaskan tidak akan memegang jawatan tersebut lebih daripada tiga tahun.

Apa yang lebih penting ketika ini adalah usahanya untuk mengurangkan hutang negara walaupun selepas bersara.


BACA: Anwar yakin dengan pelan peralihan kuasa yang berlangsung

Sejak minggu lalu, persoalan sama ada Dr Mahathir akan menyerahkan tugasnya kepada Anwar kembali dibangkitkan.

Ini berikutan ada dakwaan kononnya Dr Mahathir mahu Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali untuk menggalas jawatan tersebut.

Pada Jumaat, Dr Mahathir yang ditemubual dalam program 'The Future of Malaysia and ASEAN' di Sidang Kemuncak Perniagaan Asean Bloomberg ke-5 di Bangkok, Thailand, mengulangi jaminan bahawa beliau akan berpegang teguh kepada janjinya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.