Jawatankuasa Fatwa perlu mempunyai dimensi minda yang berupaya membaca senario dan memahami tuntutan semasa, titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Titah baginda, ruang berinteraksi juga perlu disediakan kepada generasi muda bagi mendapatkan penerangan lanjut mengenai latar belakang, asas dan rasional sesuatu fatwa dikeluarkan agar ia benar-benar difahami, dihormati dan dipatuhi.

Baginda bertitah, dunia yang semakin terbuka menjadikan alam semesta kini bagaikan lebih kecil, dengan terciptanya teknologi komunikasi serta teknologi perjalanan yang semakin mendekatkan perhubungan insan.

“Generasi muda kini dibekalkan kemudahan mendapatkan pelbagai sumber ilmu dan bahan rujukan untuk dijadikan perbandingan.

"Generasi muda pada hari ini, tidak mudah memamah atau menghadam sesuatu perkara yang dilontarkan kepada mereka,” titah baginda di Majlis Pengurniaan Watikah Yang Di Pertua dan Ahli-Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Ahli-Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan Hakim-Hakim Mahkamah Syariah Negeri Perak di sini, pada Khamis.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan, Mufti Negeri Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Yang Di Pertua MAIPk, Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin.

Sultan Nazrin bertitah, generasi muda hari ini memiliki daya untuk menyelidik, memiliki keberanian untuk menyoal, serta memiliki kesediaan untuk berhujah.

Titah baginda, keadaan itu memerlukan pendekatan penerangan yang lebih lengkap lagi meyakinkan, sebelum anak-anak muda bersedia menerima sesuatu arahan, pandangan, ketetapan dan peraturan.

“Keadaan ini semestinya menghamparkan cabaran baru yang memerlukan pendekatan baru,” titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin mahu Mahkamah Syariah meneliti dan menghalusi tahap pendedahan prosiding kes-kes syariah yang boleh diizinkan untuk dipaparkan kepada umum.

Ia, titahnya, selaras dengan semangat yang dianjurkan oleh Islam, yang melarang manusia daripada diaibkan kepada khalayak ramai.

Baginda bertitah, perbuatan mensensasikan prosiding perbicaraan di Mahkamah Syariah secara terbuka, hendaklah diteliti dan diperhalusi kesesuaiannya.

“Prosiding yang berlangsung di Mahkamah Syariah terutama yang berkaitan dengan isu-isu keluarga dan peribadi hendaklah memastikan bahawa nama baik anggota keluarga, ibu bapa dan anak-anak terjamin dilindungi daripada disensasikan.

“Aspek menjaga maruah untuk tidak mengaibkan nama seseorang insan amat ditegaskan di dalam Islam. Menjaga maruah, aib dan nama seseorang insan adalah sebahagian daripada komponen keadilan,” titah baginda.