Sebuah jawatankuasa khas dianggotai oleh pemimpin-pemimpin agama dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan dibentuk bagi membawa mesej keamanan dan perpaduan antara kaum dan agama.

Mengumumkan demikian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata jawatankuasa itu akan mengutuk insiden tembakan di Christchurch, New Zealand Jumaat lepas yang mengorbankan sekurang-kurangnya 50 nyawa.

"Isnin (hari ini) saya akan jumpa dengan semua pemuka-pemuka agama di Malaysia termasuk NGO-NGO untuk kita buat satu jawatankuasa bagi (yang) pertama kita 'condemn' apa yang berlaku (di New Zealand).

"Kebencian ini sampai membawa kepada pembunuhan... Kita mengutuk serangan tersebut.

"Dan yang kedua kita hendak bawa mesej tentang kedamaian yang merupakan satu perkara yang kita kena pertahankan... kita kena kekalkan mesej kedamaian yang Islam bawa," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hari Wanita 2019, di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini, pada Ahad.

-- BERNAMA